Jenayah

Lelaki kurang siuman bakar masjid

PASIR MAS – Penduduk di Kampung Apa-apa di sini gempar apabila masjid di mukim tersebut dibakar oleh seorang lelaki kurang siuman kira-kira jam 3 pagi tadi.

Bagaimanapun kebakaran itu hanya melibatkan ruang luar di hadapan pintu masuk masjid berkenaan.

Kejadian itu disedari oleh pasangan suami isteri warga emas yang tinggal bersebelahan dengan masjid.

Hasanah Syeikh Ahmad, 70, berkata, ketika sedang nyenyak tidur dia dikejutkan dengan bunyi bising seperti cermin pecah.

“Makcik serta suami bangun dan keluar rumah untuk tengok apa yang berlaku kerana bunyi tersebut datang dari luar.

“Apabila membuka pintu kami lihat api sedang marak membakar kawasan hadapan masuk ke masjid.

“Tanpa berlengah makcik dan suami cuba memadamkan api tersebut daripada terus merebak dengan menggunakan air yang diisi di dalam baldi,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami, Yamin Ismail, 80, mengambil masa lebih satu jam setengah untuk memadamkan api yang membakar karpet, almari serta kipas dan dinding bahagian hadapan pintu masuk masjid.

Hasanah berkata, orang kampung yang tinggal berhampiran turut keluar memadamkan kebakaran tersebut bersama mereka.

Sementara itu, Bilal Masjid Mukim Apa-apa, Abd Rahman Mohamad berkata, kejadian tersebut diketahuinya apabila diberitahu penduduk kampung yang datang mengejutkannya di rumah.

“Mujurlah penduduk yang tinggal berhampiran masjid bertindak cepat dan kebakaran dapat dipadamkan daripada terus merebak ke bahagian lain.

“Ini bukan kejadian yang pertama berlaku di masjid ini di mana beberapa hari sebelumnya lelaki kurang siuman itu pernah merosakkan harta benda masjid termasuk membuang naskhah al-Quran, sejadah serta karpet,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun lelaki yang berusia 30an itu berjaya ditahan polis kira-kira jam 9 pagi tadi dan dia mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Akibat kebakaran itu masjid berkenaan mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM10,000.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");