Perak Hari Ini

Pemimpin UMNO Jangan Amal Budaya ‘Burung Unta’ – DS Zahid

PASIR SALAK : Pemimpin parti UMNO dinasihatkan supaya tidak mengamalkan sikap ‘burung unta’ dalam perjuangan parti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua peringkat dalam kepimpinan UMNO diharap tidak bersikap demikian bagi mengelakkan kegagalan.

“Saya sering mengingatkan diri saya sendiri dan semua, lakukan muhasabah kerana yang berlaku sekarang ini kebanyakkannya budaya burung unta.

“Budaya burung unta ini hendaklah dielakkan daripada kalangan kita semua sama ada diperingkat cawangan mahupun bahagian,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, budaya itu adalah berkaitan dengan sikap melepaskan beban dan sembunyi daripada melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

“Bila ada musuh datang, bila orang pergi attack (serang) dia (burung unta), apa dia buat, sorokkan kepala dia.

“Kalau nak jadi burung, jadi burung betul… Nak jadi unta, jadi unta betul. Kalau ada masalah jangan disorokkan badan, jangan disorokkan kepala, ini ada masalah musuh datang, sorok kepala,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak 2015, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Pasir Salak merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ujar beliau lagi, pada masa ini, semua pihak mengharapkan sesuatu yang baharu kerana sikap tidak puas hati mereka.

“Kita sering melupakan apa yang kita dapat tapi kita mengharapkan sesuatu yang baru sebab kita tidak pernah puas hati dengan apa yang kita dapat.

“Kalau budaya ini ditanam, saya rasa kita akan menerpa kegagalan. Kegagalan ini sekali hilang, susah nak diperolehi balik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga telah mengingatkan setiap ahli UMNO untuk terus memperkukuhkan perpaduan dalam parti untuk mendepani segala cabaran yang berlaku pada masa kini.

Beliau juga mengingatkan kesemua pemimpin untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik-baiknya.

Sementara itu, dalam ucapan itu juga, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM 400 juta untuk membina jambatan yang menghubungkan antara Bagan Datoh dan Pasir Salak iaitu di Sungai Dulang ke Hujung Rintis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");