Berita Hari Ini

Penularan Flu Kuda: Jabatan Veterinar Larang Pemindahan Kuda

SERDANG: Jabatan Perkhidmatan Veterinar melarang pemindahan kuda ke kandang kuda yang lain di seluruh negara berikutan penularan virus Equine Influenza (EI) atau flu kuda.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Kamarudin Md. Isa berkata ekoran penyakit itu cepat merebak, beberapa kelab lumba kuda termasuk Selangor Turf Club (STC), Perak Turf Club (PTC) dan Penang Turf Club diminta memperketatkan kawalan serta memastikan tiada kuda dan alatan dibawa keluar dari kelab berkenaan.

“Keputusan ujian sampel yang dijalankan oleh makmal di Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh dan Penguasa Makanan Pertanian dan Ternakan Singapura (AVA) mengesahkan jangkitan itu berpunca daripada EI.

“Sumber jangkitan mungkin berpunca daripada kemasukan empat ekor kuda yang diimport dari New Zealand melalui Singapura pada 31 Julai lepas,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat dengan pegawai kelab lumba kuda berhubung status virus berkenaan di sini, Jumaat.

Penularan penyakit itu dikesan selepas dua ekor kuda yang dipindahkan ke STC, seekor ke PTC dan seekor lagi ke Penang Turf Club pada 14 Ogos lepas, dikesan mengeluarkan hingus dipercayai “influenza-like”.

Menurut Dr Kamarudin kesemua kuda itu tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan semasa menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin Haiwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kini lebih 100 ekor kuda telah berjangkit dengan cepat yang berpunca daripada empat ekor kuda import berkenaan tetapi keadaan masih terkawal. Kami mengambil perhatian serius terhadap masalah ini,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Kamarudin menasihati pihak yang ingin menganjurkan sebarang aktiviti berkuda menghentikannya sementara waktu dan yakin penyakit berkenaan boleh dikawal dalam masa sebulan setengah.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Lumba Kuda Malaya Krishna Kumar berkata semua perlumbaan kuda di seluruh negara pada bulan September ini telah dibatal.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");