Berita Hari Ini

Perintah berkurung di Esszone dilanjutkan lagi

KOTA KINABALU – Fasa ke-26 perintah berkurung di kawasan perairan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone ) yang berakhir esok, dilanjutkan ke Fasa ke-27, bermula 7 hingga 22 Sept berkuatkuasa dari jam 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dengan lanjutan berkenaan, semua pihak tidak dibenarkan memasuki kawasan pada jarak tiga batu nautika dari kawasan pantai di perairan enam daerah di pantai timur Sabah dalam tempoh ditetapkan itu.

“Maklumat mendedahkan terdapat beberapa ancaman KFR (culik untuk wang tebusan) dan kumpulan Abu Sayyaf yang masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan seperti penculikan dan samun bersenjata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Jalaluddin, lanjutan perintah berkurung itu juga dibuat bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk Sabah serta pelancong yang menggunakan kawasan perairan dan daratan di Esszone .

Katanya lanjutan berkenaan juga bagi memudahkan anggota keselamatan melaksanakan penguatkuasaan, termasuk memantau pergerakan bot yang cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan, menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

Jalaluddin berkata, tindakan itu juga mendapat sokongan pengusaha chalet dan masyarakat yang menjalankan aktiviti perikanan selain menjamin keselamatan perairan termasuk di pulau-pulau persempadanan.

Menurutnya, kuasa telah diberikan kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau bagi laluan yang mendesak. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");