Isu Panas

PKR minta Najib, tiga lain dedah penyata bank

PETALING JAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga penama lain diminta mendedahkan maklumat berkaitan saman PKR dalam bentuk penyata akaun bank kerana didakwa melanggar undang-undang pilihan raya berhubung dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar menegaskan permohonan mereka penting kerana semua perjanjian perniagaan yang dibuat oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diketahui rakyat.

“Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana transaksi berlaku, mengikut undang-undang, bagaimana keuntungan diraih.

“Kalau 1MDB yang dikawal oleh Kementerian Kewangan pun tidak mampu untuk melalui mengikuti prosedur seperti yang digariskan undang-undang, apakah harapan kita buat entiti lain,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, PKR memfailkan saman terhadap Najib dan tiga penama lain iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku wakil BN, 1MDB dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa melanggar undang-undang pilihan raya.

Pihak plaintif terdiri daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan bekas ahli Pas, Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam pada itu, Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata lagi, usaha pihaknya untuk mendapatkan maklumat itu perlu menjadi tanggungjawab pihak lain dan ia perlu disokong termasuk dari Umno.

“Jika mereka merasakan yang mereka tidak melakukan sesuatu melampaui batasan, mereka (Umno) patut bertindak, sepatutnya tiada apa yang perlu disembunyikan.

“Mereka perlu mendedahkan urusniaga tersebut kepada umum, melainkan transaksi itu adalah angsa emas kepada mereka,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, usaha PKR itu adalah untuk membantu masyarakat untuk mengetahui apa hak mereka dan cara untuk mendapatkan kebenaran dalam urusniaga tersebut.

“Betapa pentingnya permohonan melalui pencarian ini kepada semua perjanjian perniagaan komersial di Malaysia.

“Bila masa entiti seperti 1MDB melibatkan aset, kekayaan khazanah negara, melakukan transaksi perniagaan perlu diketahui rakyat,” tegasnya.

Sementara itu, peguamnya, Michelle Sunita Kumar yang mewakili enam plaintif berkata, permohonan mendapatkan dokumen akan disampaikan kepada defendan bertujuan membatalkan keputusan pilihan raya di kerusi yang dimenangi Umno-BN pada PRU13 pada 5 Mei 2013.

Menurutnya, penama terbabit mempunyai 14 hari untuk bertindak balas kepada saman sivil itu untuk mendapatkan dokumen dan maklumat lain.

Antara penemuan dokumen yang diminta daripada Najib ialah resit RM2.6 bilion daripada Tanore Finance Corp ke dalam akaun peribadinya, resit RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun peribadinya dan penyata bank bulanan dari April 2009 bagi 3 akaun yang disimpan AmPrivate Bank.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");