Membawang Hari Ini

Rosyam Nor perbaiki diri menerusi Da’i

MESKIPUN menerima kritikan ‘pedas’, siapa sangka Datuk Rosyam Nor sekali lagi diberi kepercayaan meneruskan tugasnya mengendalikan program bercorak keagamaan, Da’i Pendakwah Milenia.

Mengakui teruja, pelakon dan penerbit berusia 48 tahun itu bagaimanapun menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu rahmat besar dalam hidupnya.

Masakan tidak, bagai serampang dua mata, tidak sekadar jadi pengacara, platform itu turut diguna sebagai landasan dalam mengukuhkan lagi ilmu agamanya.

“Alhamdulillah, saya tak sangka diberi peluang sekali lagi mengacarakan program ini. Saya tahu, ramai yang mempersoalkan pemilihan saya sebagai pengacara, namun siapa sangka rating program ini semakin meningkat.

“Secara keseluruhannya, apabila terlibat dalam program ini, terlalu banyak perkara yang saya belajar. Salah satunya, saya nampak diri saya yang ketandusan ilmu.

“Usia sudah pun semakin lanjut, tapi ilmu di dada masih lagi belum cukup. Malah, kadang-kadang, saya bertanya pada diri sendiri, bagaimanakah keadaan saya ‘di sana’ nanti,” katanya.

Mengambil kesempatan yang ada, bintang filem Laila Isabella ini turut mengikuti sesi pembelajaran ilmu agama yang diadakan khusus buat peserta.

“Dalam usia begini, saya tidak malu perbaiki mana-mana ilmu agama yang tertinggal untuk kesedaran diri,” katanya.

Pada masa sama, bergelar pengacara turut memerlukannya membuat banyak ulang kaji berkaitan hadis dan sejarah Islam sebelum memulakan tugasan di lokasi atau di atas pentas.

“Ulang kaji itu bertujuan supaya agar fakta perlu disampaikan secara tepat dan benar serta memudahkan saya mengaitkannya dengan keadaan yang terjadi ketika itu.

“Tambahan pula, saya diberi kebebasan apabila mengacara, oleh itu, saya juga perlu bijak mengawal pentas selain memerlukan penyampaian lebih kritis dan membina.

“Malah, bagi meredakan keadaan yang tegang, saya juga menyelitkan unsur-unsur jenaka secara spontan agar peserta tidak terlalu tertekan ketika berada di atas pentas,” katanya.

Ketika ditanya mengenai segelintir penonton yang mempersoalkan kewibawaannya menerajui program tersebut, ternyata Rosyam punya jawapannya sendiri.

“Bagi saya, tidak semestinya sesuatu program agama itu diacarakan oleh individu yang berpengetahuan tinggi tentang agama.

“Lagipun, saya bukanlah jahil tentang agama jadi saya akan acarakan program itu mengikut ilmu yang ada dalam diri saya.

“Bahkan, dalam program itu sendiri, saya dikelilingi oleh mereka yang lebih mahir tentang agama,” jelasnya.

Bagi menampilkan kelainan, kali ini teraju utama filem Berlari Ke Langit itu tidak keseorangan sebaliknya turut menampilkan Zainal Ariffin Ismail sebagai pengacara bersama.

Kali ini, Da’i Pendakwah Milenia menampilkan 10 peserta terdiri daripada lima lelaki dan lima perempuan bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam sejak 16 Ogos lalu.

Penjenamaan semula

Sementara itu, bagi mengekalkan namanya dalam lapangan seni hiburan, teraju utama filem Libas ini mengakui sedang memperlahankan aktiviti seninya.

Katanya, tindakan itu dibuat bertujuan untuk melakukan penjenamaan semula terhadap nama Rosyam Nor itu sendiri.

Mengakui kaedahnya itu berkesan, ‘kehilangan’ pelakon filem Kala Malam Bulan Mengambang ini mula menjadi tanda tanya daripada peminat.

“Sudah 31 tahun saya terlibat dalam industri ini. Sampai satu ketika, populariti saya mulai menurun lantaran kehilangan peminat baharu iaitu golongan belia dan remaja. Mereka kenal saya tetapi mereka tidak meminati saya.

“Jadi, saya ambil keputusan berehat sementara dalam bidang lakonan dan menunggu saat terbaik melakukan kejutan.

“Alhamdulillah, dengan izin ALLAH SWT, saya bekerja di bawah arahan Syamsul Yusof menerusi filem KL Gangster 2 dan ternyata filem itu berjaya meninggalkan impak besar kepada saya sekali gus mengembalikan semula peminat saya,” katanya.

Bahkan, pada masa sama, tunjang utama filem Balistik ini turut mengkaji dan menilai hala tujunya sebagai pelakon untuk masa hadapan berikutan kemunculan ramai pelakon baharu yang berbakat.

“Saya mahu membuktikan, faktor usia bukanlah halangan utama untuk tidak menggalas watak utama dalam sesebuah karya.

“Namun, ia juga perlu seiring dengan keupayaan pelakon itu sendiri dalam mengekalkan kredibiliti, kualiti dan penampilan agar terus diberi peluang dalam industri ini,” katanya yang kini sibuk memberi ceramah motivasi bagi berkongsi pengalamannya dalam bidang perniagaan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");