Perak Hari Ini

Royal Belum: Ekspedisi Saintifik Terbesar Di Negara Bermula Hari Ini

GERIK: Seramai 217 peserta daripada beberapa agensi termasuklah universiti tempatan, jabatan penyelidikan, agensi kerajaan serta badan bukan Kerajaan (NGO) telah menyertai Ekspedisi Saintifik Royal Belum kali keempat yang bermula pada hari ini sehingga 17 September depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Ekspedisi Saintifik Royal Belum pada kali ini merupakan antara yang terbesar bukan sahaja di Hutan Royal Belum malah di Hutan Tropika di Malaysia.

Ujarnya, ia menunjukkan satu contoh kerjasama yang baik diantara sektor awam dan juga sektor swasta dalam menganjurkan dan menjayakan ekspedisi penyelidikan tersebut.

“Ekspedisi Saintifik ini dapat mencerminkan kesepakatan dan komitmen daripada pihak Yayasan Pulau Banding (PBF) dan Perbadanan Taman Negeri Perak terhadap peranan dan sumbangan hutan yang menjadi tulang belakang dalam eko-sistem kehidupan flora dan fauna yang unik dengan kepelbagaian biodiversitinya,” kata beliau.

2 (5)

Ujarnya, melalui ekspedisi ini, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penyelidikan serta mampu mendedahkan kepentingan Hutan Royal Belum kepada negara-negara luar.

Beliau juga berharap dengan adanya ekspedisi seperti ini, ianya mampu melaksanakan pemindahan ilmu supaya kesedaran terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar kepada masyarakat dapat dicapai melalui pengumpulan data penyelidikan.

“Saya percaya bahawa ekspedisi ini dapat menjalinkan kerjasama antara penyelidik dan seterusnya bertukar-tukar idea serta pendapat dalam kalangan mereka yang terlibat.

“Ianya secara tidak langsung dapat mengangkat nama Hutan Royal Belum ke persada antarabangsa,” katanya dalam ucapannya di Majlis Perasmian dan Pelepasan Peserta Ekpedisi Saintifik Royal Belum di Pulau Banding di sini, hari ini.

Teks ucapan berkenaan telah dibacakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak, Muhamad Kamil Shafie.

7 (4)

Ekspedisi Saintifik di Royal Belum pada kali ini telah disertai oleh saintis dan pembantu saintis dari 10 universiti awam serta swasta tempatan, tiga institusi penyelidikan, dua badan bukan kerajaan dan juga beberapa agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Zambry juga menyeru kepada semua peserta agar dapat berpegang kepada agenda yang telah ditetapkan untuk mencapai matlamat sebenar ekspedisi berkenaan.

“Ia sejajar dengan objektif ekspedisi iaitu mewujudkan satu iventori kepelbagaian biodiversiti selari dengan polisi biodiversiti negara dan mengenalpasti jenis tumbuhan herbal yang berpotensi untuk dijadikan produk ‘phyto-medicines’ selaras dengan program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian.

“Sudah tentu amat penting bagi Malaysia melakar kejayaan dalam bidang penyelidikan yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan rakyat dan menyediakan negara bagi bersaing di persada antarabangsa,” tegasnya lagi.

1 (5)

Sementara itu, Pengerusi PBF, Datuk Dr Abdul Latif Mohammad berkata, PBF menumpukan kepada penyelidikan utama termasuk bidang pemuliharaan alam sekitar dan sumber genetik.

“Selain itu, ia juga menumpukan kepada penubuhan dan penyelenggaraan pangkalan data semua flora dan fauna yang terdapat di hutan hujan serta pencarian bio sebatian aktif untuk kegunaan dalam industri farmaseutikal,” jelasnya.

Tambahnya lagi, ekspedisi yang meliputi kawasan penerokaan yang lebih besar iaitu seluas 2,500 hektar di Sungai Kejar dan Sungai Tiang juga bertujuan untuk menjalankan kajian terhadap ekosistem flora dan fauna.

“”Pelbagai kejayaan dapat diterokai antaranya spesies tumbuhan, burung dan fungus dengan menggunakan beberapa laluan yang digunakan oleh Orang Asli dan juga haiwan seperti gajah.

“Ekspedisi ini juga dapat membuka peluang untuk menemui spesies yang jarang dijumpai atau perlu diterokai semula untuk pelbagai penyelidikan yang lain,” katanya.

Tegasnya, beliau tidak mahu individu atau pihak-pihak dari luar negara lebih menguasai penyelidikan spesies flora dan fauna yang terdapat di negara ini untuk dijadikan jurnal dalam pendidikan.

“Sebaliknya, penglibatan rakyat di negara ini dengan menguasai sendiri bidang penyelidikan ekosistem hutan tropika akan lebih membanggakan negara,” ujarnya lagi.

Terdahulu, ekspedisi penyelidikan yang pertama telah dilaksanakan pada tahun 1993 oleh Persatuan Pencinta Alam (MNS) di kawasan Hutan Simpan Temengor.

Ekpedisi kedua pula telah dilakukan oleh Yayasan Pulau Banding (PDF) di lokasi yang sama bagi melengkapkan inventori Kompleks Hutan Belum-Temengor (BTFC) yang dipercayai berusia lebih daripada 130 juta tahun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");