Berita Hari Ini

Zahid Beri Amaran Kepada Syarikat Keselamatan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran akan menarik balik lesen mana-mana pengusaha syarikat kawalan keselamatan yang didapati menyewa atau menjual lesen mereka kepada pihak ketiga.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara itu memandangkan kerajaan telah memberi banyak kelonggaran kepada pengusaha terlibat.

“Semua anggota PPKKM (Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia) telah diberikan lesen dan mana-mana syarikat yang menghantar kesemua pengawal keselamatan mereka menjalani kursus akan diperbaharui lesen secara automatik tanpa diberikan notis.

“Tetapi jika mereka (anggota PPKKM) ini menggagalkan harapan saya dengan menjual atau menyewakannya, lesen itu akan ditarik balik.

“Jangan marahkan saya tetapi marah diri sendiri kenapa lesen dibatalkan,” katanya ketika berucap pada jamuan malam tahunan anjuran bersama PPPKM dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Profesional Asia (APSA) di sini, Jumaat malam.

Jelas Ahmad Zahid, KDN sebelum ini telah menetapkan jumlah siling pendaftaran 800 syarikat kawalan keselamatan yang boleh menawarkan khidmat di negara ini.

Namun, sekiranya terdapat pembatalan lesen susulan pelanggaran syarat oleh mana-mana syarikat berkenaan, barulah kekosongan itu dibuka kepada syarikat baharu.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada perkembangan industri kawalan keselamatan tempatan berikutan peranan yang dimainkan dalam menjaga keselamatan awam.

Justeru, beliau berkata aspek keselamatan akan terus diperkasakan termasuk melalui langkah-langkah pencegahan jenayah yang telah dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Persekitaran yang selamat memberi jaminan kepada perkembangan ekonomi negara, justeru sejak awal tahun ini, beberapa langkah pencegahan jenayah telah dilaksana dan diteruskan dalam RMK11.

“Kita mesti sentiasa berjaga-jaga terutama selepas kewujudan beberapa pertubuhan keganasan seperti IS dan Boko Haram,” katanya.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");