Sukan Hari Ini

Alison, Xi Yu kongsi pendahulu

KUALA LUMPUR – Kejayaan membantu Amerika Syarikat (AS) menjadi juara Piala Solheim, baru-baru ini menjadi motivasi kepada pemain muda, Alison Lee untuk tampil cemerlang berkongsi kedudukan pendahulu pu­singan pertama Kejohanan Golf LPGA Malaysia, semalam.

Pemain berusia 20 tahun yang merupakan penuntut di Universiti California Los Angeles (UCLA) merekod keputusan 65 pukulan, enam di bawah par untuk berada di kedudukan teratas bersama Lin Xi Yu dari China.

Permainan pusingan pertama yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) bagaimanapun terpaksa dihentikan hampir dua jam setengah akibat hujan lebat sebelum disambung semula pada pukul 4.30 petang.

Alison yang juga anggota skuad Piala Ryder Remaja 2010 menzahirkan perasaan gembiranya selepas merekodkan keputusan yang agak baik pada pusingan pertama dan mengakui kejayaan di Piala Solheim di Jerman bulan lepas menjadi perangsang untuk dia terus beraksi cemerlang di sini.

Katanya, sesuatu yang pen-ting untuk memulakan sesuatu pertandingan dengan keputusan yang baik, tetapi paling penting adalah keputusan yang diperoleh pada hari terakhir.

“Selepas menjulang Piala Solheim, saya mengambil cuti sehari sebelum menyambung pengajian di kolej menyebabkan saya tidak dapat menjalani latihan yang sempurna untuk kejohanan ini.

“Apa pun saya gembira de-ngan keputusan hari ini (sema­lam) tetapi banyak perkara boleh berlaku dalam kejohanan seperti ini tetapi saya mahu tamatkan kejohanan ini dengan catatan yang baik,” katanya.

Catatan bogey di lubang ke-18 menyaksikan, juara bertahan, Shanshan Feng terpaksa berkongsi kedudukan ketiga bersama bekas pemain No. 1 dunia, Yani Tseng, Michelle Wie dan Chella Choi selepas masing-masing mengumpul 66 pukulan, lima di bawah par.

Pemain No.1 dunia, Park Inbee dari Korea Selatan menamatkan pusingan pertama dengan catatan 68 pukulan, tiga di bawah par, manakala Lydia Ko mengakhiri cabaran semalam dengan catatan par.

Sementara itu, Xi Yu berkata, dia gembira mampu menampilkan aksi cemerlang sama seperti yang ditampilkannya dalam edisi terdahulu.
“Ini kali kedua saya menyer­tai kejohanan ini, pada tahun lalu saya tidak sihat, menyebabkan saya gagal bermain dengan baik dalam dua pusingan pertama.
“Namun, saya berjaya menamatkan saingan dengan keputusan agak baik,” katanya yang menamatkan saingan edisi lalu di kedudukan ke-32 dengan catatan 281 pukulan, tiga di bawah par.

Walaupun beraksi dalam kumpulan yang sama dengan pemain No.3 dunia, Stacy Lewis dan wakil Korea Selatan, Ryu So Yeon namun wakil negara, Kelly Tan tetap menampilkan aksi cemerlang dalam pusingan pertama LPGA Malaysia dengan catatan 70 pukulan, satu di bawah par.

Cindy Lee Pridgen menjadi pemain terbaik negara kedua dengan berkongsi kedudukan ke-58 dengan catatan 74 pukulan, tiga di atas par, manakala Michelle Koh berkongsi kedudukan ke-71 dengan rekod 77 pukulan, enam di atas par.

Pemain amatur negara, Nur Durriyah berada di kedudukan ke-74 dengan catatan 79 pukulan, lapan di atas par, sementara Ainil Johani abu Bakar di kedudukan tercorot selepas mengumpul 80 pukulan, sembilan di atas par.

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");