Sukan Hari Ini

Danny tamat penantian 13 tahun

Kuala Lumpur: Penantian selama 13 tahun untuk memenangi kejohanan kompetitif akhirnya terlerai apabila pemain golf profesional negara, Danny Chia (gambar) muncul juara Masters Taiwan dalam Jelajah Asia, semalam.

Tanpa sebarang gelaran antarabangsa sejak muncul juara Terbuka Taiwan di lapangan sama, Taiwan Golf & Country Club pada 2002, kemenangan itu cukup menggembirakan Danny yang mengakhiri cabaran dengan melakukan satu atas par 73 dengan catatan keseluruhan tiga bawah par 285 untuk memintas pendahulu sebelum ini, Liang Wenchong dari China dengan dua pukulan.

“Akhirnya selepas 13 tahun saya kembali muncul juara. Kemenangan ini bagaikan satu permulaan baru dalam karier saya selepas sekian lama berehat kerana menjalani pembedahan leher pada 2013,” katanya.

Danny, 42, bermula cemerlang pada hari terakhir semalam apabila membenam tiga birdie pada sembilan lubang pertama iaitu di lubang pertama, keempat dan kelima dan mencatat tiga bawah par 33 namun aksinya mula goyah di baki sembilan lubang terakhir apabila melakukan empat bogey.

“Saya berasa gementar pada lima lubang terakhir. Saya cuba mengawal keadaan itu dan memberitahu kepada diri sendiri supaya jangan terlalu memikirkan untuk menang dan cuba fokus kepada setiap pukulan namun saya gagal menyebabkan saya melakukan bogey pada lubang ke-11,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain Malaysia, Nicholas Fung menamatkan saingan dengan berkongsi kedudukan ke-42 bersama Chiragh Kumar (India) dan Lee Chieh Po (Taiwan), dengan masing-masing melakukan 301 pukulan.

– Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");