Membawang Hari Ini

De’Meises kembali ke Malaysia

Selepas tujuh tahun bertapak dalam industri muzik, nama kumpulan dari Indonesia, De’Meises mula dikenali selepas single Dengarlah Bintang Hatiku diangkat sebagai lagu tema drama TV3, Ijab dan Qabul pada 2013.

Siapa sangka populariti drama itu secara tidak langsung membantu De’Meises meraih jualan album mencecah 400,000 unit sekali gus menerima Anugerah Platinum Berkembar pada November tahun lalu.

Kini, De’Meises yang dianggotai empat jejaka dari Cianjur, Indonesia iaitu Iman (vokal), Messi (Gitar), Neno (Bass) dan Riza (Dram) kembali ke Malaysia untuk memperkenalkan single baru Biar Saja.

Menceritakan perjalanan karier De’Meises, Iman berkata, kumpulan itu mengambil tempoh lama untuk mencipta nama dalam industri seni tanah air sendiri kerana perlu bersaing dengan band lain.

“Kebetulan kami menubuhkan kumpulan ini ketika musim band lelaki, jadi konsep yang diketengahkan kami kurang sesuai dengan cita rasa pendengar pada waktu itu. Sekarang beralih pula ke musim dangdut.

“Mujur single Dengarlah Bintang Hatiku membantu menaikkan nama kumpulan ini di Indonesia dan Malaysia,” katanya ketika majlis pelancaran single Biar Saja, kelmarin.

Menurut Iman, De’Meises bermaksud coklat tabur di Indonesia dan makanan kegemaraan ramai di negara itu.

“Kami mahu karya yang dibawa kumpulan ini menjadi kegemaraan ramai seperti makanan itu,” katanya.

Menceritakan mengenai single Biar Saja, Iman berkata, susunan lagu itu berentak pop balada dan klip video lirik mencecah hampir sejuta tontonan sejak dimuatnaik di laman YouTube, Mei lalu.

“Lagu itu ciptaan Harry Tasman dan mengisahkan perpisahan dua kekasih kerana tiada persefahaman.

“Lebih istimewa, klip video single yang dikeluarkan pada 13 September lalu turut menampilkan pelakon dan penyanyi popular negara ini Ayda Jebat,” katanya.

Berkenaan perancangan masa depan De’Meises, Iman berkata, album kedua dijangka dikeluarkan pada tahun depan.

“Sebelum itu, kami akan keluar single ketiga selepas ini. Bahan sudah ada, namun maklumat mengenai lagu itu hanya boleh dikongsi apabila selesai nanti,” katanya.

Namun disebabkan jadual karier nyanyian padat, vokalis itu berkata, De’Meises belum mempunyai perancangan m­enga­dakan persembahan di negara ini.

Sementara itu, Ayda ketika ditemui di majlis berkenaan berkata, dia menerima panggilan daripada Warner Music Malaysia untuk muncul dalam klip video Biar Saja.

“Sebenarnya saya tidak kenal siapa De’Meises dan mencari maklumat mengenai kumpulan itu sebelum terbang ke Jakarta pada Mei lalu.

“Ketika itu barulah saya tahu dan saya pernah menyanyi lagu Dengarlah Bintang Hatiku yang dimuatnaik dalam Instagram,” katanya.

Pelakon itu berkata, walaupun saling tidak mengenali, tetapi dia tiada masalah bekerjasama dengan anggota kumpulan berkenaan.

“Penggambaran klip video mengambil masa sehari saja di sebuah banglo di Kemang Pajaten, Jakarta dan semuanya berjalan lancar kerana De’Meises sangat peramah,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");