Jenayah

Direman 2 hari hina Istana Johor

Johor Bahru: Seorang eksekutif syarikat telekomunikasi yang sebelum ini dikenali sebagai antara aktivis mahasiswa propembangkang, ditahan reman dua hari bermula semalam oleh Mahkamah Majistret, di sini, bagi membantu siasatan berhubung satu kenyataan di laman sosial yang didakwa menghina Istana Johor.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Nuriza Mustafa terhadap lelaki berusia 25 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lelaki itu yang ditahan di pejabatnya di Klang, Selangor, kira-kira 1.40 petang kelmarin, dibawa ke mahkamah jam 11 pagi dengan berpakaian lokap berwarna oren.

Turut dilihat bersama-samanya ialah ahli keluarga, termasuk isteri, anak perempuan berusia setahun serta kedua ibu bapanya.

Selepas perintah reman dikeluarkan, peguam Hassan Karim berkata, anak guamnya akan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung siasatan yang akan dijalankan.

“Anak guam saya sudah ditahan semalam (kelmarin) di pejabatnya di Klang, Selangor oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat individu berkaitan kenyataannya di satu laman sosial Facebook (FB) yang dikatakan menghina Istana Johor, baru-baru ini.

“Kita akan memberi kerjasama bagi siasatan ini dan komputer serta telefon bimbit anak guam saya juga sudah berada dalam simpanan polis,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah semalam.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");