Jenayah

Dua kereta bertembung, anggota TUDM maut

PEKAN: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam satu kemalangan di Kilometer 84 Jalan Kuantan – Segamat, pagi ini.

Nahas membabitkan dua buah kenderaan yang berlaku pada jam 7.50 pagi itu turut mengorbankan dua lagi mangsa lelaki yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di pelabuhan Kuantan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Amran Sidek berkata, ketiga-tiga mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta bahagian dalaman badan selain tersepit di tempat duduk masing-masing.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kemalangan tersebut berlaku selepas kereta jenis Proton Satria dipandu sendirian Laskar Udara 11 Muhamad Khairul Maslehan, 21, terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Alza yang dinaiki Muhamad Yunus Hanafi, 31, dan bapa saudaranya, Osman Abu Bakar, 53.

“Ketika tiba di tempat kejadian kereta yang dipandu Muhamad Khairul dari arah Segamat menuju ke Kuantan terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan kereta yang dipandu Muhamad Yunus yang tidak sempat mengelak.

“Rempuhan kuat yang berlaku menyebabkan kedua-dua pemandu dan penumpang Alza (Osman) maut akibat kecederaan parah dan tersepit sebelum terpaksa dikeluarkan oleh pihak bomba yang tiba ditempat kejadian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan bilik mayat Hospital Pekan di sini.

Amran berkata, siasatan di kawasan lokasi kejadian mendapati keadaan jalan satu lorong dua hala dengan garisan tengah berkembar adalah rata dan sedikit berselekoh selain bahu jalan di kiri dan kanan tidak berturap.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");