Membawang Hari Ini

Fauziah sempat pentaskan teater

Kesibukan sebagai tenaga pengajar program Akademi Fantasia 2015 tidak menghalang Fauziah Nawi untuk menggerakkan pementasan teater Dari Bintang Ke Bintang yang diadaptasi daripada puisi dan naskah teater karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr Usman Awang.

Persembahan dijayakan anak didiknya daripada Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) yang dipentaskan di Dewan Wisma Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Wangsa Maju sejak 28 September lalu dan berakhir Ahad ini.

Pementasan pertama Dari Bintang Ke Bintang pada 1998 berlangsung ketika negara dilanda kegawatan ekonomi. Secara kebetulan situasi serupa turut berlaku kali ini dan Fauziah turut dibantu Iryanda Mulia Irwadi sebagai pengarah bersama.

Naskhah Dari Bintang Ke Bintang dijayakan 11 ahli Stefani yang masih hijau dalam bidang seni. Mereka tampil dalam persembahan yang memaparkan luahan keprihatinan dan sifat kemanusiaan.

Ia masih mengekalkan naskhah yang sama, namun dipentaskan mengikut konsep berlandaskan moden dan millenium tanpa meminggirkan budaya Melayu.

Antara puisi yang dimuatkan dalam persembahan selama satu setengah jam ini ialah Mata Ayah (1964), Suara Dari Pusara (1968), Kekasih (1971), Jebat Pahlawan Rakyat (1971), Benarkan Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Lurus (1978) dan Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar (1979).

Biarpun masih baru, Raja Emy Shahril, Mohsein Mohyi, Raouf Arif, Afnan Shahir, Iellyas Fietrie, Raja Muhammad Hafiz, Jali Masari, Ieka Simone, Norafyda, Syeera Ishak dan Shafinaz Mohd Shah berjaya menunjukkan mutu lakonan membanggakan.

Persembahan mereka turut diwarnakan dengan penampilan tiga penyanyi iaitu Ariyanee Ahmad, Wan Yuzaini Wan Yahya dan Mohamad Hanafi Isman daripada kumpulan Tinaju.

Ditemui selepas persembahan berakhir, Fauziah yang mesra disapa ibu ini mengakui berpuas hati dengan usaha dilakukan mereka selama ini.

“Saya akui jadual sangat padat, tetapi teater tetap perlu dipentaskan. Saya bersyukur kerana ramai yang nak membantu. Bagi melancarkan lagi pementasan ini saya dibantu Iryanda Mulia.

“Sebenarnya pementasan ini ibarat bulan jatuh ke riba. Ia berlangsung kerana doa pelakon saya. Mereka memulakan latihan pada Ramadan lalu.

“Ketika belum ada tarikh persembahan. Kemudian, barulah Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai eksekutif IBTM, Mohd Khair Ngadiron menyatakan persetujuan teater ini dipentaskan.

“Ini ahli Stefani yang baru kerana yang senior bergelar jurulatih dan bekerja di belakang tabir. Mereka baru tiga bulan belajar dengan saya dan kebanyakannya tiada pengalaman beraksi di pentas teater.

“Hanya Raouf yang ada asas teater ketika menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Raja Emy juga antara yang senior, selebihnya muka baru.

“Saya bertemu mereka ketika mengadakan kursus lakonan untuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Daripada 20 peserta, enam orang berminat mengasah bakat sebagai pelakon teater.

“Saya menggesa anak muda ini menyertai Stefanie dan ternyata mereka mempunyai semangat yang kuat untuk berlakon. Mereka juga komited dengan latihan biarpun ada yang bekerja,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");