Berita Hari Ini

Grid Kuasa Asean jadi tumpuan utama

KUALA LUMPUR – Penghalaan elektrik dalam kalangan negara Asean menerusi pelaksanaan projek Grid Kuasa Asean (APG) akan menjadi tumpuan utama perbincangan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Tenaga dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan (AMEM 2015) yang bermula hari ini.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr James Dawos Mamit berkata perbincangan mengenai APG perlu dilakukan kerana ada beberapa negara anggota Asean yang boleh menghasilkan lebih banyak tenaga berbanding yang lain.

“Kami melihat beberapa negara, sebagai contoh Vietnam dan Myanmar, yang juga berkembang, jadi sebaik sahaja grid kuasa dilakukan dan dilaksanakan, barulah pindahan kuasa juga boleh dilakukan.

“…tetapi kelaknya…ia akan sentiasa bergantung kepada kos,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada Forum Perniagaan Tenaga Asean 2015 yang berlangsung selama dua hari, di sini, hari ini.

Forum itu yang diadakan bersempena dengan AMEM 2015, juga dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Loo Gee Took, dan Pengarah Eksekutif Aseab Centre bagi Tenaga, Dr V. Sanjayan.

Sementara itu, Dawos berkata, kerajaan akan memberikan tumpuan utama bagi penggunaan tenaga lestari dengan pengurusan sumber yang cekap dan berhemat di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Beliau berkata, tenaga boleh diperbaharui, tenaga bersih dan tenaga lestari akan menjadi sebahagian daripada dasar tenaga masa hadapan dan berharap perangkaian dan kerjasama antara sektor awam terus berkembang, agar dapat menampung peningkatan permintaan tenaga di samping menangani perubahan iklim dan isu-isu alam sekitar lain.

“Kerajaan akan berusaha menyediakan semua kemungkinan bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama bagi pelaburan, dan menggalakkan inovasi, teknologi cekap menerusi pasaran, meningkatkan produktiviti dan menyokong pertumbuhan industri baharu tempatan,” katanya.

AMEM 2015 merupakan platform bagi menggalakkan kerjasama lebih erat dalam inisiatif tenaga antara Asean, rakan dialognya dan agensi tenaga antarabangsa.

Mesyuarat itu dihadiri delegasi dari 10 negara anggota Asean, Rakan Kongsi Dialog Asean dan pihak-pihak relevan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");