Membawang Hari Ini

Idam berlakon filem

Tidak dinafikan ketika ini Ayda Jebat, 23, antara pelakon wanita yang menjadi rebutan penerbit drama dan stesen TV.

Selepas drama Rindu Awak 200% menjadi fenomena, populariti Ayda terus mencanak naik.

Sejak itu wajahnya kerap muncul di kaca TV dan dihujani pelbagai tawaran berlakon.

Berbanding pelakon lain, Ayda lebih suka bekerja daripada berehat panjang dan itu antara strateginya untuk terus mengekalkan nama dalam industri hiburan.

“Sejak tahun lalu saya bekerja tanpa henti. Bagaimanapun, saya tidak ambil semua tawaran dan tetap memilih. Mana yang dirasakan berbaloi dan memberi impak untuk kerjaya, saya ambil,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur apabila ada mengatakan dia sebagai pelaris drama dan menyifatkannya sebagai satu penghargaan.

“Alhamdulillah, orang mula hargai apa saya lakukan. Tapi saya tetap meletakkan diri sebagai orang baru dan masih ba­nyak perlu dipelajari dan diperbaiki,” katanya.

Dalam waktu sama, jauh di sudut hatinya dia teringin membintangi filem. Namun belum ada rezeki buatnya.

“Setiap pelakon pasti mengimpikan untuk berlakon filem. Bagi saya selagi belum ada naskhah bagus, saya tak nak terburu-buru. Ada tawaran diterima, tapi saya kurang yakin. Kalau setakat main ambil, saya takut peminat kecewa.

“Jadi tak salah jika saya menunggu untuk sesuatu yang bagus. Tak nak nanti peminat membeli tiket semata-mata saya dan bukannya filem itu,” katanya.

Sepanjang bergelar pelakon, Ayda tidak pernah mengimpikan sesuatu watak.

“Tanggungjawab diberikan saya lakukan dengan sehabis baik. Saya tak pernah ada watak diinginkan sebaliknya setiap projek lakonan watak itulah saya perlu realisasikan.

“Itu satu faktor membuatkan saya masih terus ada. Untuk lepaskan diri daripada stigma cepat naik cepat turun, jadi saya kena pilih karya yang betul-betul bagus. Tapi tak semua pelakon dapat peluang macam tu,” katanya.

Cemerlang dalam beberapa watak utama dijayakan, pelakon drama M.A.I.D ini juga bersedia menggalas watak pelakon pembantu.

“Saya tak kisah melakonkan watak pembantu, tapi terpulang pada jalan cerita dan watak. Kadang-kadang ada drama menggunakan heroin orang tua dan saya jadi anak. Takkan saya nak jadi tua pula semata-mata nak bawa watak utama.

“Watak pembantu pun penting juga. Hero dan heroin akan nampak bagus kalau watak pembantu itu memberi impak dalam lakonan. Dalam masa sama kena tengok juga watak pembantu tu macam mana. Paling penting jangan sia-siakan setiap peluang. Buat terbaik agar orang boleh ingat watak tu,” katanya.

Pertama kali naik kereta api di Amsterdam

Bercerita berkenaan kerjayanya, Ayda baru pulang dari Amsterdam, Belanda bagi menjayakan penggambaran drama Sesal Separuh Nyawa arahan Michael Ang.

Selama 10 hari berada di sana, Ayda turut berkongsi beberapa pengalaman dilalui.

“Ini pertama kali saya ke Amsterdam. Apa saya boleh katakan, tempatnya seronok dan tak banyak larangan. Bagaimanapun, ia bukan lokasi kegemaran saya kerana terlalu ‘happening’. Bukan apa, saya jenis sukakan ketenangan.

“Namun, banyak pengalaman diperoleh di sana. Satu daripadanya adalah saya bersama kru dan pelakon lain perlu menaiki kereta api ke lokasi penggambaran.

“Mungkin ada yang tidak tahu saya sebenarnya tak pernah naik kereta api termasuk di Malaysia, tapi di sana kena naik. Selain itu, cuaca juga sejuk sebab berlakon di tepi laut,” katanya.

Drama untuk tayangan HyppTV itu turut menampilkan Aiman Hakim Redza, Lia Natalia dan Aidit Noh.

Selain itu, Ayda juga sedang merancang merakamkan single kedua dan ketiga selepas single sulungnya berjudul Jadi Diriku mendapat sambutan ramai.

“Buat masa sekarang, perancangan menerbitkan album belum lagi. Walaupun single pertama saya mendapat sambutan meggalakkan, tapi masih ada belum dicapai. Sebab tu saya tak nak terburu-buru.

“Apa pun saya nak berterima kasih kepada peminat yang sentiasa bersama saya dari awal sehingga sekarang.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");