Berita Hari Ini

Inovasi inklusif bantu golongan pendapatan rendah

KUALA LUMPUR – Inovasi inklusif berpotensi menjadi kaedah penyelesaian untuk meningkatkan kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, kata Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Menurutnya, ini ternyata bertentangan dengan kepercayaan bahawa inovasi hanya berkaitan teknologi serba canggih yang mahal.

“Konsep inovasi inklusif mengikut takrifan Bank Dunia adalah inovasi yang membawa kepada kemampuan akses bagi barangan dan perkhidmatan berkualiti untuk golongan miskin secara mampan serta jangkauan yang meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘Khazanah Megatrends Forum 2015’ (Forum Megatrend Khazanah 2015) di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Harnessing Creative Disruption: Unlocking the Power of Inclusive Innovation’ (Memupuk Kekangan Kreatif : Merungkai Kuasa Inovasi Inklusif), forum dua hari bermula hari ini itu disertai lebih 400 peserta dalam kalangan komuniti perniagaan.

Menurut Nor Mohamed, komponen teras inovasi inklusif itu adalah ia membawa kepada akses yang mampu milik atau berpatutan.

Produk inovasi, khususnya dalam bidang makanan, kesihatan dan asas kehidupan, juga mampu menyumbang kepada peningkatan kebajikan golongan berpendapatan rendah, katanya.

Jelasnya, biarpun inovasi penting bagi pertumbuhan, ia berkemungkinan tidak semestinya menghasilkan impak positif kerana ada sesetengah inovasi hanya cenderung ke arah golongan berkemampuan dan ia melibatkan hak golongan tidak berkemampuan.

“Justeru, kita perlu menyedari bukan saja mengenai kesan dan natijahnya, tetapi golongan yang terbabit.

“Oleh itu, dalam usaha menjadi masyarakat yang inklusif, kita tidak boleh mengamalkan sikap tidak endah terhadap pertumbuhan yang diterajui inovasi,” katanya.

Menurut Nor Mohamed, kerajaan perlu campur tangan bagi memastikan kekayaan yang diwujudkan dalam ekonomi dapat diagihkan secara saksama serta mengetepikan ketidakadilan sosial.

Ini boleh dilaksanakan menerusi pemberian kemudahan pendidikan kepada semua rakyat, kemudahan prasarana yang baik di kawasan bandar serta luar bandar, latihan teknikal dan vokasional bagi membolehkan golongan muda mengambil pekerjaan mahir bagi meraih pendapatan berpatutan, katanya.

“Tidak kurang pentingnya, kerajaan perlu menyediakan persekitaran menerusi gabungan latihan pendidikan atau kemahiran, sikap rajin dan baik yang membolehkan mana-mana rakyat mempertingkatkan diri daripada tahap rendah sehingga kepada sekurang-kurangnya kejayaan yang memadai.

“Malangnya, di kebanyakan ceruk dunia hari ini, ada berjuta-juta penduduk yang biarpun bersikap baik serta rajin tetapi kehidupannya sukar,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");