Panasnya Hari Ini

Jerebu: Peperiksaan UPKK, UPSRA Ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) yang dijadualkan berlangsung pada Isnin dan Selasa ini akan ditangguhkan berikutan masalah jerebu yang melanda kini.

Penangguhan itu melibatkan seramai 207,343 pelajar yang akan menduduki subjek Ulum Syariah (5 Oktober) dan subjek Sirah serta Jawi dan Khat pada 6 Oktober ini.

Walaubagaimanapun, peperiksaan yang dijadualkan pada hari Rabu dan Khamis akan berjalan seperti biasa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha berkata, penangguhan ini melibatkan semua pusat peperiksaan seluruh Negara.

“Tarikh baru bagi pelaksanaan peperiksaan bagi tiga subjek berkenaan akan dimaklumkan kemudian berdasarkan kepada suasana dan laporan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa.

“Dipohon kerjasama kepada semua agensi bertanggungjawab yang melaksanakan KAFA mengambil tinakan segera memaklumkan arahan penangguhan peperiksaan ini kepada semua pihak yang terlibat,”katanya menerusi kenyataan media, petang tadi.

Tambahnya lagi, JAKIM turut menyambut baik keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menangguhkan peperiksaan UPSRA pada 5 dan 6 Oktober ini selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan supaya semua sekolah ditutup pada Isnin dan Selasa ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan bahawa semua sekolah di Semenanjung (kecuali Kelantan) ditutup berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk.

Tambah Othman lagi, peperiksaan UPSRA di semua sekolah kelolaan JAWI telah pun ditunda pada 12 dan 13 Oktober hadapan.

“Peperiksaan UPSRA di semua sekolah kelolaan JAWI iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan ditunda kepada hari Isnin dan Selasa depan (12 hingga 13 Oktober 2015).

“Bagi jadual hari Rabu dan Khamis dijangka akan berjalan seperti yang dijadulkan kecuali ada arahan lain daripada Kementerian Pendidikan,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");