Membawang Hari Ini

Lakar sejarah antarabangsa

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Begitulah kegembiraan yang dikecapi konduktor muzik terkenal yang juga Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail apabila berjaya melakar sejarah tersendiri dalam karier seninya.

Lulusan dari Berklee College of Music, Boston ini berpengalaman luas memperkenalkan Orkestra Jazz RTM di pentas antarabangsa dan terbaru di Java Jazz Festival bersama penyanyi jazz Indonesia, Harvey Malaiholo.

Beliau juga pernah memimpin Orkestra Philharmonik Malaysia ketika konsert pemuzik Jazz Amerika Chris Botti beberapa tahun lalu.

Anak jati Perlis ini dinobatkan sebagai pemuzik pertama Malaysia menjadi duta produk antarabangsa piano German Hagspiel dan berjaya menembusi China.

Bukan mudah mendapat pengiktirafan terutama dari negara luar. Justeru, rakyat Malaysia wajar berbangga dengan pencapaian Mokhzani.

Ikuti temu bual wartawan RAP, Ridzuan Abdul Rahman ([email protected]) bersama Mokhzani yang menyentuh mengenai cara pemilihan dilakukan dan visinya sebagai pemuzik yang mahu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

RAP: Bagaimana pengiktirafan ini diberikan kepada Datuk?

MOKHZANI: Ia bermula dengan jemputan persembahan oleh syarikat Tujuh Warisan dan Hagspiel German (pengedar yang berpusat di Shenzhen China) yang memperkenalkan piano jenama Hagspiel di Malaysia pada Mei lalu. Tak sangka tarikh itu bertukar menjadi detik yang bersejarah buat saya.

Pada hari itu sebuah grand piano dihadiahkan syarikat berkenaan kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang juga pemain piano berbakat besar dan diletakkan di ruang legar pejabat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

RAP: Apa yang berlaku pada hari itu?

MOKHZANI: Saya diundang membuat persembahan bersama pemain piano jemputan lain antaranya Tengku Irfan dan Toh Puan Aishah Ong di hadapan Tun Dr Mahathir, Tun Siti Hasmah, kenamaan dan jemputan khas.

Secara kebetulan, saya menyampaikan beberapa buah lagu jazz dan daripada situ pihak terbabit tertarik dan seterusnya mengundang saya menjayakan persembahan pertama di Liuzhou China di samping mengadakan seminar.

RAP: Datuk membuat persembahan di China?

MOKHZANI: Ya, saya diundang ke sana pula pada 23 Ogos sehingga 27 Ogos lalu. Turut bersama saya ialah pengarah Tujuh Warisan, Ray Lee dan pemuzik muda negara iaitu Eizaz Azhar (saksofon), Sivam (dram) dan Raja Farouk (bass) serta penyanyi Dr Kay.

Kami ke Lui Zhou bagi mengadakan persembahan dan seminar. Tak sangka sambutan yang diterima hebat walaupun ini kunjungan pertama di negara yang melahirkan ramai pemuzik klasik bertaraf dunia.

RAP: Apa yang Datuk lihat di sana?

MOKHZANI: Seminar muzik yang bertajuk Awakening the Creativity mendapat sambutan luar jangkaan apabila lebih 500 pemain piano terdiri daripada kanak-kanak, guru dan profesor menghadirinya.

Malah pada hari persembahan kuartet jazz kami, reaksi peminat muzik jazz begitu menakjubkan. Mereka hadir memberikan sokongan kepada saya dan rakan.

RAP: Apa perasaan Datuk ketika itu?

MOKHZANI: Sukar digambarkan betapa bangganya saya. Ini kerana untuk menembusi sebuah negara yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai di dunia bukanlah perkara mudah.

Apatah lagi China banyak melahirkan pemain muzik bertaraf dunia. Bahkan dipercayai hampir 30 juta kanak-kanak di negara itu belajar piano klasik.

RAP: Apa yang berlaku susulan kejayaan ini?

MOKHZANI: Kunjungan ini membuka mata banyak pihak di China dan saya dilantik sebagai duta Hagspiel sekali gus menjadikan saya pemuzik pertama diberikan pengiktirafan antarabangsa.

Saya sekali lagi akan mengharumkan nama Malaysia dalam kunjungan seterusnya ke Beijing dan Tianjin dari 26 Oktober sehingga 30 Oktober ini untuk menandatangani perjanjian rasmi sebagai duta Hagspiel di Beijing.

Kami akan mengadakan seminar muzik piano serta persembahan bersama pemuzik Malaysia yang lain. Saya rasa amat bersyukur dan berterima kasih terhadap kepercayaan yang diberikan Hagspiel dan Tujuh Warisan.

Peluang sebegini tidak pernah saya jangkakan dan sudah tentu saya gembira dapat memartabatkan nama negara di mata dunia.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");