Jenayah

Tiada kaitan sindiket penjualan organ

Kota Bharu: Kehilangan tujuh murid orang asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang yang masih belum ditemui sejak 23 Ogos lalu, tiada kaitan dengan pemerdagangan manusia untuk penjualan organ.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, setakat ini siasatan dijalankan polis tidak menunjukkan sebarang bukti menjurus kepada dakwaan jenayah itu.

Katanya, pihak tertentu tidak wajar membuat spekulasi berhubung kehilangan kanak-kanak itu kerana ia menjejaskan siasatan polis, selain mengganggu emosi keluarga mangsa.

“Saya menafikan mangsa diculik sindiket penjual organ. Sekiranya ada pihak yang memaklumkan perkara berkenaan, sila kemukakan bukti kepada kami.

“Sehingga kini pasukan keselamatan masih menjalankan operasi mencari kanak-kanak berkenaan walaupun lebih sebulan berlalu,” katanya.

Tujuh murid yang hilang dari Kampung Gawin dan Penad ialah Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7.

Kanak-kanak itu hilang selepas dikatakan melarikan diri dari asrama sekolah kerana bimbang dimarahi guru akibat mandi sungai.

Semalam sebuah portal berita melaporkan ahli keluarga tujuh murid Sekolah SK Tohoi tidak menolak kemungkinan mangsa diculik penjual organ.

Dalam laporan itu, keluarga mangsa juga mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil serius isu kehilangan anak mereka disebabkan mereka anak orang asli.

Mengulas lanjut Mazlan berkata, pihaknya tidak pernah memandang remeh kes kehilangan kanak-kanak berkenaan.

“Sejak kes kehilangan murid berkenaan dilaporkan, pihak berkuasa bekerja keras mengesan kanak-kanak berkenaan dan operasi sehingga hari ini masih diteruskan termasuk operasi pencarian diperluaskan sekitar 80 hingga 140 kilometer radius iaitu di luar hutan terutama di sekitar bandar terdekat,” katanya.

– Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");