Sukan Hari Ini

Zainal ke Selangor tahun depan?

KUALA LUMPUR – Ketika kempen Pahang memburu kejuaraan hattrick Piala Malaysia masih separuh jalan, muncul desas-de­sus bahawa pengendalinya Zainal Abidin Hassan akan menyertai Selangor musim depan manakala masa depan penyerang sensasi Matias Conti bersama Tok Gajah juga masih terumbang-ambing kerana belum ada perbincangan mengenai kontraknya yang akan tamat tidak lama lagi.

Menurut sumber rapat dengan skuad Tok Gajah, Zainal bakal meninggalkan Pahang untuk menggantikan Mehmet Durakovic yang gagal membimbing Red Giants memenangi sebarang kejua­raan musim ini.

Malah, Selangor juga dikatakan tidak berminat untuk menyambung khidmat jurulatih dari Australia itu sekali pun jika skuadnya berjaya memenuhi misi menang Piala Malaysia untuk kali ke-33.

“Zainal akan menyertai Sela­ngor pada musim depan namun, perkara ini bergantung kepada setinggi mana minat Pahang untuk mengekalkannya,” kata sumber itu, yang enggan namanya didedahkan, kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Melihat kepada pencapaian Selangor sepanjang lima tahun ini adalah tidak mustahil mereka mahu mencuba khidmat jurulatih baharu setelah kali terakhir menjulang trofi pada 2010 apabila muncul juara Liga Super di bawah bimbingan jurulatih tempatan K. Devan.

Kemarau kejuaraan sejak sekian lama menyebabkan peminat tegar Selangor mendesak Dirakovic, bekas pemain pertahanan mereka pada era 90-an, agar berundur, dan sekiranya berjaya memenangi Piala Malaysia musim ini juga dikatakan tidak akan meredakan tekanan daripada penyokong.

Zainal, yang memenangi treble pada musim pertamanya bersama Pahang tahun lalu, dikatakan calon paling dikehendaki oleh Selangor untuk menggantikan Durakovic.

Walaupun terlepas dua trofi musim ini iaitu Piala FA dan Liga Super, Zainal masih dilihat memiliki butiran diri yang kuat setelah memimpin Pahang mara ke suku akhir Piala AFC sebelum kalah dengan agregat 5-3 kepada kelab Tajikistan, Istiklol.

Zainal yang dihubungi bagaimanapun mengambil pe­ndekatan untuk enggan mengulas lebih lanjut sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada persaingan Piala Malaysia.

“Mana awak tahu mengenai perkara ini? Saya masih lagi de­ngan Pahang. Piala Malaysia pun belum habis macam mana saya nak tahu mengenai musim depan. Ini semua khabar angin sahaja,” kata Zainal sambil ketawa.

Dalam pada itu, sumber yang sama turut mendedahkan bahawa penyerang dari Argentina, Conti yang kontraknya bersama Pahang bakal tamat selepas kempen Piala Malaysia berakhir juga tertanya-tanya sama ada khidmatnya akan diperlukan lagi selepas itu.

Malah, sumber itu berkata, masa depan Dickson Nwakamae serta Damion Stewart bersama Tok Gajah turut menjadi tanda tanya.

“Kebiasaannya kontrak pemain akan dibincangkan pada September ataupun Oktober, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang tanda-tanda perbincangan akan dilakukan oleh kedua-dua pihak dalam masa terdekat. Keadaan se­nyap sahaja…tiada cakap pun nak lanjutkan tempoh kontrak,” kata sumber itu lagi.

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");