Sukan Hari Ini

‘Anak rimau banyak jasa’

Kuala Lumpur: Program Harimau Muda bukan pembaziran, jelas jurulatih Harimau Muda C Hassan Sazali Waras yang kecewa dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membubarkan program itu.

Menerusi mesyuarat Exco FAM kelmarin, satu ketetapan dibuat dengan menerima cadangan Jawatankuasa Bertindak Khas FAM untuk tidak meneruskan program Harimau Muda yang diwujudkan sejak 2007 membabitkan pasukan Harimau Muda A, B dan C.

Sebaliknya FAM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hanya akan memberi tumpuan kepada skuad projek Sukan SEA 2017 yang dianggotai pemain bawah 23 tahun.

Hassan, bekas penolong jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee dalam skuad Harimau Muda A berkata, program Harimau Muda sudah banyak melahirkan ramai pemain kebangsaan.

“Saya sudah lama bersama pasukan ini jadi tipulah jika saya tidak sedih dan kecewa dengan keputusan membubarkan Harimau Muda. Bagaimanapun saya fikir mungkin FAM sudah memikirkan perancangan lain yang lebih baik dalam membuat keputusan ini.

“Bagi saya program ini bukan pembaziran, lihat saja skuad Harimau Malaya ketika menentang UAE (Emiriah Arab Bersatu) baru-baru ini, sebilangan besar pemain dari skuad Harimau Muda.

“Dalam Liga Malaysia sekarang, ramai pemain Harimau Muda beraksi sebagai pemain tonggak bersama pasukan negeri dan kelab,” katanya kepada Arena Metro.

Selain membentuk ramai pemain pelapis skuad kebangsaan, program itu juga membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 Vientiane dan Sukan SEA 2011 Jakarta menerusi penyertaan skuad B-23.

Bagaimanapun program itu tidak lari daripada kontroversi menerusi penyertaan Harimau Muda A di Slovakia pada 2009-2010 yang menyaksikan jurulatih Azraai Khor Abdullah melepaskan jawatan kepada Kim Swee.

“Saya percaya FAM ada pelan untuk ke arah lebih maju, jika bubar tanpa perancangan ia bukan tindakan bijak. Bagi saya mungkin sudah tiba masanya ia dibubarkan dengan kita mencuba kaedah baru.

“Ini kerana program ke luar negara seperti ke Slovakia tidak terlalu berkesan dan berbaloi kerana kejayaan yang kita capai tidak konsisten. Malah menghantar pemain muda bermain dalam Liga Singapura juga tidak memberi banyak peningkatan,” kata Azraai.

Sementara itu bagi bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh, beliau berpendapat ia langkah tepat FAM membubarkan pasukan Harimau Muda dan dilepaskan beraksi bersama pasukan negeri dan kelab dalam Liga Malaysia.

“Mendedahkan pemain muda beraksi dalam Liga Malaysia juga secara tidak langsung program pembangunan. Kalau di Jerman, pemain berusia 18, 19, 20 tahun sudah beraksi dalam Bundesliga. Pemain muda perlu bersaing dalam suasana kompetitif lebih awal,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");