Membawang Hari Ini

Azam bina sekolah pondok

Menepati ramalan, Pencetus Ummah (PU) Syed, 33, muncul juara program PU musim ketiga di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra, Bangi, malam kelmarin.

Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak menyifatkan kemenangannya sebagai sesuatu yang mengejutkan, apatah lagi selepas mendapat tahu undian penonton ke atas PU Taha lebih tinggi.

“Apabila mendapat tahu undian Taha lebih tinggi menerusi Facebook, saya terus tak letakkan sebarang harapan.

“Bagaimanapun, itu tak bermakna saya perlu bersikap sambil lewa di pentas akhir. Saya masih berusaha menampilkan persembahan terbaik. Alhamdulillah, ini yang dikatakan rezeki.

“Kejayaan saya ini bukan saja atas bantuan Allah, sebaliknya juga sokongan kawan-kawan di PU. Mereka antara pendorong semangat saya setiap minggu,” katanya yang juga guru bahasa Arab.

Kemenangan itu membolehkan Syed mendapat tawaran mengikat kontrak selama enam bulan bersama pihak Astro Oasis selain membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 dan trofi.

Sepanjang tujuh minggu bersiaran, Syed dinobatkan sebagai peserta terbaik sebanyak empat kali dan lima kali menjadi PU Pilihan Sinar FM.

Di pentas akhir itu, Syed memperoleh markah 63.29 peratus menewaskan tiga finalis lain iaitu Abdul Zaid Abdul, 30 (Zaid), Mohd Amirul Amin Maulana Lok­man Hakim (Amin), 25, dan Taha Mohd Omar (Taha), 29.

Tempat kedua menjadi milik Taha dengan markah 59.17 peratus, ketiga Zaid sebanyak 58.02 peratus dan keempat Amin sebanyak 57 peratus.
Mereka masing-masing menerima wang tunai RM10,000 dan trofi.

Syed berkata, persembahannya malam kelmarin tidak mengikut skrip 100 peratus.

“Insya-Allah jika selepas ini saya diberi peluang mengendalikan program sendiri, saya akan cuba sebaik-baiknya.

“Memandangkan saya kini masih bercuti sebagai guru, jadi tak ada masalah untuk membahagikan masa dalam memberi komitmen kepada tugas baru,” katanya.

Mengenai wang kemenangan itu, Syed berazam untuk membina sekolah pondok buat sahabatnya, PU Ramadan dan memperbaiki rumah keluarganya di kampung halamannya di Kuantan, Pahang.

Mimbar akhir PU menyaksikan setiap peserta menyampaikan dua tugasan tazkirah secara solo dan duet dengan finalis PU sebelumnya.

Sama seperti musim sebelumnya, sistem penjurian berdasarkan 70 peratus daripada juri profesional manakala baki 30 peratus undian penonton.

Dua juri tetap program ini adalah Datuk Ustaz Mohd Kazem Elias yang juga pengetua PU 3 dan penyampai radio Sinar FM, Abby Fana.

Sementara itu, dua jemputan terdiri daripada Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Bertemakan Dakwah Dengan Akhlak, semua finalis mendapat bimbingan tenaga pengajar Ogy Ahmad Daud selaku guru persembahan, Imam Muda Asyraf, PU Azman dan Hafiz selaku pengajar.

Program ini menampilkan Ustaz Zulkefli Hamat dan Shamsul Ghau Ghau selaku pengacara.

Selain itu, penonton turut dihiburkan barisan penyanyi jemputan seperti Aweera, Mawi, Daly Filsuf, In-Team dan UNIC.

PU 3 banyak perbezaan

Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali menyifatkan PU kali ini menampilkan banyak perbezaan berbanding sebelumnya.

“Semua peserta musim ini mempunyai pemikiran. Sebelum ini penyertaan dibuka kepada mereka yang mempunyai kelayakan akdemik minimun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kali ini kita lebih terbuka. Sebab itu dapat dilihat pelbagai latar belakang akademik dan perbezaan personaliti yang membuatkan musim kali ini lebih menarik,” katanya.

Musim ini juga menyaksikan pertama kali pihak produksi memperkenalkan elemen persembahan di bawah tunjuk ajar pelakon hebat, Ogy Ahmad Daud.

Mengakui pihaknya menerima pelbagai maklum balas dan krtikan, Ahmad Fuad menganggap ia sebagai percubaan baru dalam bentuk dakwah.

“Kami terima segala kritikan dengan hati lapang dan terbuka. Bagi saya, persembahan yang ditonjolkan peserta adalah sesuatu yang baru bagi sebuah program TV.

“Bagaimanapun, kritikan dan pandangan sebegitu yang ditunggu-tunggu. Apa kami buat sekadar ingin memberitahu bahawa berdakwah itu juga boleh dilakukan dalam pelbagai cara dan tidak sekadar di mimbar masjid,” katanya.

Melihatkan kejayaan elemen berkenaan, pihak Astro bercadang untuk mengekalkan teknik sedemikian dan mengadakan perbincangan dengan Ogy bagi musim akan datang.

Sementara itu, Ogy berkata, suntikan elemen persembahan dalam tazkirah disampaikan setiap peserta adalah atas perbincangan bersama pihak Astro dan Ustaz Mohd Kazem.

“Berdasarkan pemahaman saya, tajuk program ini saja sudah jelas mahukan setiap peserta mencetuskan sesuatu yang baru. Jadi apabila diberikan tugas ini, saya sudah bertanya perkara sama ada boleh atau tidak boleh untuk dilakukan.

“Saya meminta izin untuk mengkaji lebih dalam berkenaan setiap peserta. Ternyata ada banyak kelebihan mereka yang perlu ditonjolkan. Jadi saya perlu mendidik mereka. Alhamdulillah mereka menerima setiap apa yang diajar,” katanya.

Menurut Ogy, disiplin dan komitmen diberikan setiap peserta memudahkan tugasnya, malah jauh lebih mudah berbanding mengajar pelakon baru.

Ogy juga menyifatkan misinya berjaya dan sempurna selepas melihat semua finalis mempersembahkan tugasan masing-masing dengan terbaik.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96307#sthash.lH62UGyY.dpuf

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");