Jenayah

Enam jam bertarung nyawa

BERTAM HULU: Selepas bertarung nyawa lebih kurang enam jam, akhirnya seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun yang terbabit dalam kemalangan di hadapan SRJKC Bertam Ulu, di sini, Isnin lalu, meninggal dunia.

Mangsa, Muhammad Aniq Norazian, 7, disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Melaka di sini, selepas terbabit kemalangan lebih kurang jam 6.30 petang, kelmarin.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang juga murid tahun satu SK Bertam Ulu terbabit, baharu sahaja pulang dari sekolah agama.

Ketika berjalan ke arah van untuk pulang ke rumahnya, dia dipercayai dirempuh sebuah kereta yang melalui lokasi kejadian.

Sumber berkata, ketika kejadian kawasan berkenaan sesak dipenuhi kereta di bahu kiri dan kanan jalan.

“Selepas berjalan keluar lebih kurang 200 meter dari sekolah agama, mangsa dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dari arah bertentangan.

“Biasanya van yang dinaiki mangsa akan menunggu di hadapan sekolah, bagaimanapun pada hari kejadian keadaan di kawasan itu penuh menyebabkan van terbabit terpaksa menunggu agak jauh,” katanya.

Jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu wanita berusia 38 tahun yang dalam perjalanan dari arah Bertam Ulu menuju ke lampu isyarat Paya Mas dikatakan tidak dapat mengelak mangsa yang sedang berjalan di bahu kiri jalan.

“Siasatan awal mendapati, ketika berjalan mangsa dipercayai termasuk ke laluan kereta berkenaan sehingga menyebabkan pemandu kereta gagal mengelak.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");