Membawang Hari Ini

Hidup perlu diteruskan

Cukup sedih untuk dikenang. Ketika hayatnya, kita terhibur dengan lakonan dan lawak jenaka Allahyarham Harun Salim Bachik sama ada melalui filem, drama dan program lawak.

Tapi kini apabila arwah sudah tiada, anak isteri yang ditinggalkan berhadapan masalah hingga mendapat perhatian sepanjang minggu lalu.

Ia bermula apabila balu arwah, Surianti Mohd Nor, 35, membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Kulim, Kedah kerana tidak mampu menanggung sara hidup di ibu kota.

Sumber pendapatan menjual produk kesihatan Legasi Hsb tidak mencukupi menampung sewa rumah dan anak-anak yang masih bersekolah.

Semua barang-barang kemasnya terpaksa digadai dan memilih memulakan hidup baru di kampung bersama ibu bapanya.

Kalau itu saja mungkin ia tidak berpanjangan tetapi Suriati meluahkan rasa terkilan dan berasa dipinggirkan selepas pemergian arwah pada 8 Mac lalu, sedangkan arwah banyak memberi sumbangan kepada industri dan pernah menyandang gelaran presiden persatuan dinaungi kalangan artis, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Lebih menarik apabila Presiden Seniman, Zed Zaidi mengatakan isteri arwah sebelum ini tidak mahu menerima bantuan orang lain kerana ikut pesanan suami ketika hayatnya.

Tidak cukup dengan itu, nama pelawak Achey juga terkait kononnya tidak pernah menjenguk atau bertanya khabar sebagaimana dikatakannya kepada media sebelum ini.

Suriati mengatakan hanya pengarah dan pelakon Afdlin Shauki yang selalu menghulur bantuan untuk persekolahan anak-anak.

Tidak pasal-pasal Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 29, dicop kacang lupakan kulit kerana arwah yang membawanya ke dunia seni melalui program Bintang Mencari Bintang.

Daripada situ, masyarakat baru tahu hakikat sebenar Suriati adalah isteri kedua, berkahwin pada 2000 dan dikurniakan dua anak, Siti Hazeera Sofea, 12, dan Hakeem Sufy Al-Rashid, 14.

Manakala Martinah Ahmad isteri pertama memiliki empat anak tetapi perkahwinan mereka tidak bertahan lama. Dalam hal ini, Achey dikatakan membantu anak-anak dari isteri pertama dan Afdlin pula lebih mengenali anak-anak dari isteri kedua.

Persoalannya kini, mereka yang ditinggalkan perlu meneruskan kehidupan. Jika arwah pernah berpesan supaya isteri tidak mengambil bantuan orang dan ia kini dianggap sebagai satu amanat, seharusnya Suriati perlu melihat dalam kontek keadaan semasa.

Surianti kini berada dalam situasi antara prinsip (amanah arwah suami) dan keperluan dia dan anak-anak. Apa salahnya terima bantuan, mungkin boleh disimpan untuk kegunaan pada masa terdesak dan waktu sama, terus berusaha mencari rezeki yang halal.

Alhamdulillah, Surianti berniaga secara online. Sememangnya itu usaha murni kerana sembilan daripada 10 punca rezeki datangnya dari perniagaan.

Kalau ada kemahiran membuat kuih, mungkin boleh menjual kuih begitu juga nasi lemak dan mungkin juga menjahit. Banyak sebenarnya sumber rezeki, tinggal lagi mahu atau tidak saja.

Kalau difikirkan pulang ke kampung adalah jalan terbaik, apa salahnya dapat juga tinggal dekat dengan ibu bapa dan mungkin juga dapat sama-sama berbakti kepada orang tua.

Mungkin arwah berpesan supaya jangan meminta bantuan orang dalam kontek lebih halus, tidak mahu isteri dan anak-anaknya menagih simpati orang lain. Dalam kata lain, seolah-olah meminta sedekah. Tapi sekarang apa sudah jadi, cerita keluarga arwah menjadi bualan masyarakat.

Perlu juga dilihat, kalau itu dikehendaki arwah seharusnya selama ini segalanya sudah dipersiapkan seperti rumah untuk keluarga dan sedikit harta yang ditinggalkan supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

Kalau diikutkan, ketika hayatnya arwah bukanlah artis suam-suam kuku kata orang, sebaliknya cukup laris menerima tawaran berlakon dan menjayakan persembahan. Tidak cukup dengan itu, menjadi juri dan juga mentor menjayakan program realiti TV.

Filem Polis Evo dibintangi sebelum meninggal dunia mencatat kejayaan besar dengan kutipan paling tinggi lebih RM17 juta. Dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar itu, arwah memegang watak ASP Mokthar yang bertugas di Terengganu.

Mungkin kita yang tidak berhadapan dugaan ini akan mudah berkata, dunia ini luas dan rezeki Allah itu dalam perbagai cara dan bentuk. Tapi hakikatnya, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Semoga ia menjadi peringatan buat kita semua kerana pepatah Melayu banyak mengingatkan supaya kita beringat mengenai masa depan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");