Berita Hari Ini

Isu 1MDB tidak jejas dasar fiskal negara

KUALA LUMPUR – Isu membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak memberi kesan ke atas dasar fiskal negara kerana hutang syarikat itu yang dijamin oleh kerajaan hanya berjumlah RM5.8 bilion, menurut Kementerian Kewangan.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan akan memastikan 1MDB memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan kedudukan kewangannya termasuk menyelesaikan isu-isu berkaitan aliran tunai mereka.

Menurut kementerian itu, isu utama 1MDB pada masa ini adalah tiada keserasian antara aliran masuk daripada operasi perniagaan serta penjualan aset dengan aliran keluar pembayaran keluar faedah hutang dan principal.

“Ketidakserasian ini berlaku disebabkan penangguhan pelan pelaksanaan Saham Terbitan Awal (IPO) dan kesukaran penjualan tanah milik 1MDB akibat daripada pelbagai tohmahan serta kritikan yang dilemparkan terhadap 1MDB,” kementerian itu menjawab soalan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar).

Menurut kementerian itu, bagi menangani cabaran berkenaan dan untuk membayar balik hutang syarikat, 1MDB telah menjalankan kajian strategik dan hasil daripada kajian itu, satu Pelan Rasionalisasi telah dibentangkan kepada kabinet.

“Jemaah Menteri telah bersetuju dengan pelan itu dan mengarahkan 1MDB supaya melaksanakannya dengan segera,” kata kementerian itu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");