Membawang Hari Ini

Kebangkitan Siti Nordiana

JATUH naik sesebuah karier sudah menjadi asam garam buat mereka yang bergelar anak seni.

Biarpun populariti berjaya diraih namun itu bukanlah satu jaminan buat mereka mempertahankan karier dalam industri hiburan ini.

Merasai perkara yang sama, penyanyi Siti Nurdiana, bagaimanapun masih percaya selain rezeki, kerja keras adalah kayu pengukur sesebuah kejayaan.

Pernah menjadi perhatian sewaktu awal kemunculan dahulu, namun ia tidak bertahan lama malah selepas beberapa ketika kariernya seakan sepi.

Demi minat dalam bidang nyanyian, penyanyi yang mesra di sapa Nana ini tidak pernah mengambil jalan mudah untuk berputus asa malah yakin pasti ada ruang untuknya kembali bersinar.

Keyakinannya terbukti apabila, pentas program realiti, Gegar Vaganza 2 (GV2) telah menjadi platform buatnya kembali diingati.

“Mungkin sebelum ini ramai yang hanya lihat saya menyanyi lagu-lagu seperti Paling Comel, Bola Bola Api.

“Sebenarnya saya boleh menyanyi lagu lain dan pentas GV2 ini telah beri ruang yang besar kepada saya.

“Sebelum ini saya akui tidak berpeluang untuk buktikan bakat saya dan bila berpeluang sertai GV2, saya memang mahu manfaatkan dengan baik supaya orang lihat kebolehan saya,” katanya.

Tidak hanya bercakap kosong, Nana telah buktikan kemampuannya dalam setiap persembahan konsert mingguan.

Lebih membanggakan, selain mendapat pujian daripada para juri, persembahan Nana juga menjadi viral dalam sosial media kini.

“Alhamdulillah, ini adalah penangan Madah Berhelah yang saya persembahkan pada minggu kedua.

“Memang di luar jangkaan dan saya memang tidak pernah sangka respons orang seperti itu. Saya terkejut dan sangat bersyukur kerana masih ada yang menyokong saya,” ujarnya teruja.

Lebih bersedia

Di sebalik kejayaan pastinya terselit juga dugaan dan kesulitan.

Selepas nama kembali popular, Nana yakin bersedia untuk menerima segala kemungkinan yang berlaku memandangkan dia kini sudah menjadi perhatian umum.

“Biasalah, bila sudah menjadi perhatian, mesti ada juga cerita yang kurang senang akan keluar.

“Sama ada bersedia atau tidak, saya harus bersedia dan kalau boleh tidak mahu terlalu memikirkan soal itu.

“Lagi pun kita tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Jadi jalan yang baik adalah beri perhatian kepada kehidupan dan masa depan saya sendiri tanpa memikirkan perkara yang tidak sepatutnya,” jelasnya panjang lebar.

Berkongsi persiapan konsert minggu ke tujuh menerusi GV2, Nana menjanjikan persembahan yang menghiburkan.

“Sebenarnya dua minggu berturut-turut memperoleh markah tertinggi buat saya sedikit tertekan. Tapi dari segi positifnya, saya sentiasa mahu beri yang terbaik.

“Malam ini saya akan sampaikan lagu Secangkir Madu Merah dan ia agak mencabar kerana bukan kebiasaan saya menyampaikan genre dangdut.

“Lagu ini ada dua versi dari Malaysia dan Indonesia, jadi saya cuba lari dari dua versi ini dengan menyampaikannya dengan gaya nyanyian yang tersendiri.

“Insya-ALLAH, saya akan buat yang terbaik,” katanya penuh semangat.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");