Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Prihatin Bantu Rakyat -DS Zambry

KUALA KANGSAR: Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan akan memberikan perhatian untuk membantu rakyat di negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan tidak pernah jemu dalam mengatur langkah untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

“Sayugia, dalam mendepani harapan rakyat, untuk mengecapi kehidupan yang lebih selesa, liku dan kelok kehidupan mereka yang berhadapan dengan kesempitan, sentiasa dijadikan ehwal keutamaan.

“Ekoran peningkatan kos sara hidup rakyat, kerajaan tidak pernah berpatah azam, dan sentiasa mengatur ikhtiar untuk meringankan beban yang digalas oleh mereka,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan tahniah dan taat setia sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Balairong Seri Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Justeru, ujar beliau lagi, Kerajaan Negeri sentiasa istiqamah dalam melaksanakan program untuk memastikan segenap lapisan khalayak mendapat pembelaan tanpa ada tertinggal dan terpinggir.

“Keazaman membina 10,000 unit buat rumah mampu milik menjelang tahun 2018 dan Program Kedai Bergerak 1Amanjaya yang menawarkan harga barangan keperluan harian pada harga kilang.

“Selain itu bantuan barangan makanan kepada kalangan dhuafa; bantuan pendidikan dan bantuan kebajikan.

“Mudah-mudahan, kepada Allah dipohon agar usaha berterusan membela nasib golongan yang memerlukan, akan dikurniakan keberkatan dalam pemerintahan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan,” katanya lagi.

Sementara itu, Zambry berkata, Kerajaan Negeri juga amat menitik beratkan agar rakyat di negeri ini sentiasa membina keyakinan dan menjadi masyarakat mandiri yang mampu berada dihadapan dalam pelbagai situasi.

“Di samping itu, tanpa alpa perhatian terus diberikan dalam soal perpaduan dan kesatuan di kalangan rakyat negeri ini.

“Selaku Memanda Menteri Besar, ikrar patik Ke Bawah Duli Tuanku, adalah untuk memastikan negeri ini menjadi tempat bernaung segenap lapisan rakyat, pelbagai darjat dan harakat, untuk hidup bahu membahu di bawah lembayung ketakhtaan Ke Bawah Duli Tuanku,” tegas beliau.

Beliau juga berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan tidak wujud ruang yang mampu memudaratkan negeri dan juga rakyat.

“Dalam rencamnya pola pemikiran rakyat hari ini, yang pada saban ketika, boleh menjelma menjadi pakar di alam maya, menggunakan kebebasan seolah-olah tiada had dan batasan.

“Maka usaha-usaha memadamkan percikan api persengketaan, akan sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");