Berita Hari Ini

Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dijangka siap 2023

KUALA LUMPUR – Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak sepanjang 1,090 kilometer (km) dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lapan tahun dan beroperasi sepenuhnya pada awal 2023.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata projek itu terbahagi kepada dua fasa dan fasa pertama melibatkan laluan dari Telok Melano-Sematan-Kuching-Serian Sibu-Bintulu-Miri telah bermula pada 31 Mac lalu.

Katanya, pembinaan awal melibatkan jajaran dari Persimpangan Jalan Nyabau ke Persimpangan Jalan Bakun sepanjang 43 km dengan harga kontrak sebanyak RM638 juta.

“Projek kedua pula melibatkan laluan dari Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 km yang telah dilancarkan pada 1 Sept lalu dengan harga kontrak RM580 juta.

“Segmen-segmen lain untuk fasa pertama sedang dalam peringkat proses tender pra-kelayakan dan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2016,” katanya ketika menjawab soalan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Wong ingin mengetahui tentang tahap pembinaan dan peningkatan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak.

Rosnah berkata fasa kedua yang melibatkan laluan di bahagian Limbang dan Lawas akan dimulakan pada 2018.

Mengenai kadar pampasan bagi tanah, rumah dan tanaman yang diguna pakai untuk projek berkenaan, Rosnah berkata kos pengambilan balik tanah untuk keseluruhan jajaran Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak adalah dianggarkan sebanyak RM800 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan pusat.

“Proses pengambilan tanah dan penilaian pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat pula akan dibuat oleh kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Ia dipantau dan diselaraskan oleh jawatankuasa di peringkat kerajaan negeri dengan keanggotaan turut terdiri daripada wakil agensi pusat,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");