Sukan Hari Ini

Peluang bila Lions XII tiada

PENAMPILAN terakhir Lions XII pada saingan Piala Malaysia (Liga-M) 2015 musim ini disambut baik oleh pasukan berstatus kelab dari Terengganu, T-Team.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, disebabkan perkara itu, sudah pastinya memberi peluang kepada salah satu pasukan tempatan sama ada untuk kekal bersaing dalam Liga Super ataupun “naik pangkat” daripada Liga Perdana ke liga utama itu setelah pasukan Lions XII tidak lagi beraksi pada musim 2016.

“Sememangnya kita menyambut baik dan mengalu-alukan. Cuma pemain kita kenalah bersiap sedia secepat mungkin dan merebut peluang ini,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.

Liga Malaysia 2015 (Liga-M) merupakan penampilan terakhir wakil Singapura, Lions XII dalam saingan bola sepak tempatan setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak melanjutkan dan memperbaharui Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 2011 yang berakhir pada tahun ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah menerusi laporan akhbar hari ini berkata, keputusan berkenaan diputuskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM setelah mengambil kira beberapa faktor seperti kos yang ditanggung pasukan tempatan untuk berkunjung ke negara Seberang Tambak itu.

Afandi berkata, tempat Lions XII dalam saingan Liga Super 2016 bakal digantikan pemenang perlawanan kalah mati antara pasukan tangga ke-11 Liga Super 2015 iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan tangga ketiga Liga Perdana iaitu T-Team yang bakal ditetapkan dalam tempoh terdekat.

Mohd Syahrizan berkata untuk perlawanan kalah mati tersebut, T-Team berharap FAM memilih masa yang sesuai berikutan ketika ini ramai pemainnya bercuti.

Lagipun, katanya pemain-pemain import dan juga jurulatih baharu pasukan T-Team yang dalam proses pengambilan dijangka tiba di sini pada awal bulan depan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana memberi peluang kedua kepada T-Team selepas hampir-hampir layak ke Liga Super,” katanya.

T-Team dan ATM sepatutnya akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim 2016. Namun apabila salah satu pasukan itu perlu menggantikan Lions XII dalam Liga Super 2016, maka satu kekosongan slot dalam Liga Perdana 2016 akan diisi oleh Kuala Lumpur yang pada asalnya telah turun ke Liga FAM 2016 kerana menduduki tangga kedua tercorot Liga Premier 2015. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");