Berita Hari Ini

Perlu bantuan kerajaan persekutuan

YAN – Kerajaan Kedah menafikan dakwaan bahawa tidak mampu melakukan pembangunan dan hanya bergantung kepada kerajaan persekutuan semata-mata.

Exco Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, sebaliknya setiap projek yang dirancang memerlukan kerjasama dan bantuan daripada kerajaan persekutuan.

“Kerajaan negeri tidak boleh buat banyak perkara sendirian, ia memerlukan bantuan kerajaan persekutuan. Negeri mana pun termasuk negeri yang kaya juga perlukan bantuan kerajaan persekutuan.

“Walaupun projek itu diumumkan dalam bajet, ia tidak semestinya dilaksanakan dalam tahun itu juga. Ia hanya pengumuman dan tidak semestinya kita buat semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran produk Yan Best dan pertandingan tarik tali peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Chempedak, di sini, semalam.

Menurutnya, Bajet Kedah 2016 yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga bukan bermakna ia projek kerajaan persekutuan, sebaliknya projek bersama yang diusahakan oleh kerajaan negeri.

“Sebagai contoh untuk pembangkang faham. Mereka dahulunya hanya cakap tentang perumahan rakyat, tetapi daripada 2008 sampai 2013 tidak ada satu pun perumahan rakyat yang dibina.

“Misalnya di Jalan Dulang ke Sungai Yan. Dulu mereka cadang nak bina perumahan rakyat kepada penduduk di tepi laut yang terlibat hakisan, tetapi sampai sudah projek itu tidak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu adalah bagi menggambarkan bahawa kerjasama dan bantuan antara kerajaan negeri dan persekutuan amat diperlukan.

“Contoh lain seperti projek bandar raya getah (Rubber City). Ia adalah projek kerajaan persekutuan dan negeri, tetapi kalau biar sahaja kerajaan persekutuan buat tanpa usaha kerajaan negeri, akhirnya ia hanya sekadar pada nama sahaja.

“Projek ini sebenarnya dirancang sejak dahulu lagi iaitu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Sebelum ini, Pas Kedah mendakwa Kerajaan BN Kedah tidak serius dalam usaha mendapatkan hasil negeri dan hanya berharap kepada projek dari kerajaan persekutuan.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi menjelaskan bahawa itu yang membezakan antara kerajaan BN dan PR dahulu yang melaksanakan banyak program untuk mencari hasil sendiri.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");