Sukan Hari Ini

Pesta Barca

Paris: Juara bertahan Barcelona menyambut kejayaan mereka layak ke kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara dengan satu lagi aksi membanggakan sambil Luis Suarez dan Lionel Messi masing-masing meledak dua gol ketika membantu kemenangan besar 6-1 pasukannya ke atas AS Roma, awal pagi semalam.

Barca serta Bayern Munich masing-masing menempah tiket ke peringkat kalah mati dan kedua-dua kelab itu membuktikan mengapa mereka layak dianggap pasukan terbaik Eropah ketika ini selepas Bayern membenam Olympiakos 4-0 di Arena Allianz.

Barcelona mendapat tahu mereka layak ke peringkat kalah mati dari Kumpulan E sebelum sepak mula di Nou Camp apabila BATE Borisov dan Bayer Leverkusen terikat 1-1 di Belarus.

Turun dengan semangat tinggi selepas mengatasi musuh tradisi Real Madrid 4-0 hujung minggu lalu, Barca sekali lagi mempamer persembahan yang gagal disaingi kelab Itali itu dan kemenangan itu membolehkan mereka menduduki tangga teratas kumpulan.

Dani Alves melorongkan bola yang mudah disudahkan Suarez untuk gol pembukaan sebelum Messi yang turun buat kali pertama sejak sembuh daripada kecederaannya, menjadikan kedudukan 2-0 hasil gerakan diatur Neymar dan Suarez.

Suarez meledak gol peribadi keduanya sebelum rehat menerusi rembatan voli dan Barca meneruskan asakan pada babak kedua dengan Neymar, Suarez serta Messi semuanya bergabung untuk melakukan gerakan bagi membolehkan Gerard Pique menjaringkan gol keempat.

Neymar dan Suarez kemudian membantu Messi menghasilkan gol kelima pada minit ke-60 dan Adriano meledak gol keenam selepas penalti yang diambil Neymar ditepis Wojciech Szczesny.

Luka Roma sedikit lega apabila Edin Dzeko menjaringkan gol sagu hati pasukannya walaupun sebelum itu penalti yang diambilnya berjaya diselamatkan penjaga gol Barca Marc Andre ter Stegen.

“Apabila anda melihat semua pemain menikmati permainan masing-masing, sudah tentu anda puas hati. Mereka kelihatan seronok ketika berlatih dan begitu juga ketika bermain,” kata jurulatih Barca Luis Enrique.

Jika Bayern dan Olympiakos seri di Jerman, kedua-dua pasukan pasti layak ke pusingan kalah mati tetapi skuad kendalian Pep Guardiola itu langsung tidak mempamerkan belas kasihan kepada pelawat dan mendahului 3-0 sepanjang 20 minit pertama.

Douglas Costa membuka jaringan dan Robert Lewandowski meledak gol ke-28 dalam 25 perlawanan musim ini sebelum Thomas Mueller menghasilkan gol ketiga.

Holger Badstuber dilayangkan kad merah pada awal babak kedua tetapi tidak menghalang Kingsley Coman untuk menghasilkan gol keempat.

“Amat penting menamatkan saingan selaku juara kumpulan,” kata kapten Bayern Philipp Lahm.

“Ia akan memberi kelebihan di peringkat kalah mati kerana anda akan bermain perlawanan kedua di tempat sendiri.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");