Jenayah

Sanggup tipu elak dicekup berkhalwat

ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki memberi alasan hanya menumpang mandi ketika dicekup berdua-duaan bersama teman wanitanya dalam sebuah bilik motel murah di Simpang Kuala, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 12.20 pagi itu, remaja lelaki yang juga pekerja sebuah hotel menyahut ketika pintu bilik diketuk anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Bagaimanapun, dia dilihat bertindak berdiam diri dan mengambil masa membuka pintu sebaik mengetahui kehadiran pihak berkuasa ke premis berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Undang-undang Jaik, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, lelaki berkenaan membuka pintu lebih kurang 15 minit kemudian.

“Ketika ditahan, remaja berusia 19 tahun berkenaan didapati duduk berdua-duaan dalam bilik bersama teman wanita yang juga pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Perak.

“Ketika disoal lanjut, masing-masing yang berasal dari Bandar Alor Setar memaklumkan sudah lama berkenalan antara satu sama lain dan singgah untuk mandi sahaja,” katanya.

Malah, menurutnya, lelaki berkenaan didapati sengaja meletakkan kenderaan di bahagian belakang premis berkenaan demi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, bilik motel berkenaan dipercayai menjadi pilihan dan tumpuan pelanggan disebabkan keadaan premis bangunan agak terlindung.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan berkemungkinan menyangka ataupun menganggap pihak berkuasa tidak akan menyedari aktiviti maksiat dilakukan mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, hasil maklumat awam, Syeikh Mohd Roshidi berkata satu serbuan dijalankan ke atas sebuah bilik di restoran di bandar ini.

Dalam pemeriksaan tersebut pihaknya mendapati pekerja restoran warga Thailand berdua-duaan dengan seorang lelaki warga tempatan sebuah syarikat swasta.

“Lelaki berkenaan memberi alasan mahu membetulkan lampu.

“Manakala wanita berkenaan adalah ibu tunggal yang sudah mempunyai tiga orang anak di Thailand,” katanya.

Kira-kira 25 anggota penguatkuasa Jaik terlibat dalam Ops Maksiat bermula jam 11 malam hingga 4 pagi, semalam.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");