Perak Hari Ini

‘Saya berjuang bukan diatas landasan peribadi’

PAGOH: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa apa yang beliau lakukan selama ini bukanlah diatas landasan peribadi, sebaliknya demi rakyat.

Beliau berkata, sepanjang menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau menggunakan peluang yang ada itu untuk memberikan pandangan dan perasaan beliau tentang apa yang dihadapi oleh negara.

“Tetapi sebagai seorang pemimpin yang diamanahkan, saya saudara pilih sebagai wakil anda, tentu saya harus bertanggungjawab. Bukan kerana diri saya tetapi negara saya.

“Saya berjuang bukan diatas landasan peribadi. Saya berjuang diatas perjuangan utk rakyat. Rakyat menjadi orang yang berkepentingan. Apa lagi saya masih berkuasa pada ketika itu. Pastinya itu peluang yang terbaik untuk saya berikan pandangan dan perasaan saya tentang apa yang dihadapi,”katanya ketika berucap di dalam satu majlis perhimpunan sokongan terhadapnya yang diadakan di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, Johor, semalam.

Terdahulu, Muhyiddin antara Menteri yang lantang mengkritik tentang syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga beliau disingkirkan daripada jemaah Menteri dalam rombakan Kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Julai lalu.

Muhyiddin turut berkata, ada pihak yang berpendapat bahawa beliau akan ‘terselamat’ sekiranya mengambil langkah untuk berdiam diri.

“Apakah saya harus berdiam diri dan tak kata apa-apa. Kalau saya buat begitu, saya akan terselamat. Saya sudah hampir 40 tahun dalam kerajaan, saya sudah buat yang terbaik.

“Tetapi kalau saya tak buat kewajipan dan amanah yang diberikan oleh rakyat untuk menyatakan tentang hal sebegi terhadap pimpinan dan hal-hal lain, maka saya tidak bertanggungjawab, elok saya berhenti. Tak perlu jadi Ketua Bahagian dan Timbalan Presiden UMNO.

Tambah Muhyiddin lagi, apa yang dihadapi oleh negara adalah sesuatu yang luar biasa dan kesannya ditanggung oleh rakyat.

“Belum pernah berlaku dalam sejarah kewangan dan politik negara yang agak luar biasa seperti ini. Bebanan yg ditanggung rakyat berbilion-bilion.

“Saya tak boleh berdiam diri.saya bercakap dan saya beri pandangan yg terbaik dan membina, bukan merosakkan,”ujarnya.

Tambahnya lagi, masalah yang dihadapi oleh 1MDB tidak seharusnya menjadi masalah kepada rakyat dan negara, tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Syarikat itu dimulakan dengan rRM1 juta, tetapi sudah berhutang berpuluh-puluh billion. Sesiapa pun orang yang biasa dalam perniagaan, ini bukan cara mengurus sebuah syarikat.

“Kalau itu masalah mereka, tanggunglah beban sendiri. Tetapi tidak. Ini sudah jadi masalah negara dan masalah rakyat. Bila sudah jatuh, pelabur sudah tak seperti dahulu, kita tak mempunyai wang yang cukup untuk perbelanjaan pembangunan .

“Ianya memberi kesan imej kepada masyarakat dunia dan dalam negara. Di tokok tambah dengan kos sara hidup, ini jadi satu keadaan yg buruk. Apa tugas saya, bagi nasihat,”luahnya.

Muhyiddin turut berkata, isu 1MDB telah dibawa kepada pihak-pihak berwajib di luar negara seperti di Hong Kong, Switzerlang, Amerika Syarikat. Australia dan Singapura.

Tambahnya, isu ini sepatutnya isu kecil tetapi sebaliknya ia telah menjadi satu isu global.

“Kita ada institusi-institusi yg dibentuk oleh Negara kita seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara.ini negara Malaysia adalah negara yang berundang-undang.

“Kalau kita lihat sesuatu perkara itu berlaku, sebagai rakyat kita tak boleh berdiam diri. Pihak berkuasa perlu ambil tindakan dan menangkap mereka yang bersalah tidak kira orang (berjawatan) besar atau kecil. Ini memang sudah tertulis dalam sistem perundangan pernghakiman dalam negara,”katanya.

Tambahnya lagi, rakyat tidak mengetahui tentang apa yang berlaku pada hari ini.

Justeru, beliau menuntut supaya Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan mengambil tindakan supaya rakyat tidak menunggu bagi mendapatkan jawapan.

“Jangan buat teka teki, jangan tohmah. Jangan ganggu soal siasat dan serahkan pada pihak tertentu untuk pertimbangkan sama ada kes itu ada atau tidak.

“Kalau ada, kes itu mesti dibawa ke muka pengadilan dan dihukum. Kalu tidak, perkara itu terlepas. Itu sistem yang kita lakukan.

“Tetapi pada hari ini, soal ini sudah tidak ada. Institusi yang disediakan untuk negara kita sudah lagi tidak bermaya dan berkuasa. Jadi bagaimana rakyat nak mendapat jawapan?,”ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau menggunakan kuasanya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu adalah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh negara.

“Saya gunakan kuasa saya dalam kerajaan. Apa yang saya katakan ianya bukan untuk saya tetapi untuk negara bagi selesaikan masalah sebegini.

“Salahkah Ketua Bahagian Pagoh menegur dan beri pandangan? Apakah apa yag saya sebutkan itu bercanggah dengan Perlembagaan?”soalnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");