Berita Hari Ini

Serangan Militan Tak Luntur Semangat Teo Wei Sing Memartabat Puisi Melayu Di Paris

PETALING JAYA: Tiada bunyi burung berkicauan, deruan air terjun atau hembusan bayu, tetapi sebaliknya terngiang-ngiang bunyi das tembakan, dentuman bom dan teriakan orang ramai ketakutan serta siren polis serta ambulans di sana sini.

Namun siri serangan berdarah di beberapa lokasi di Paris baru-baru ini sedikit pun tidak melunturkan semangat seorang guru untuk membawa misi Malaysia ke ibu negara Perancis pada Ahad ini.

Malah Teo Wei Sing, 33, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Putih, Kuantan, Pahang telah bersedia untuk mendeklamasikan puisi Melayu di Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) di Paris.

Beliau berkongsi perasaan hiba sambil mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan pengganas di Paris sehingga mengorbankan lebih 150 orang dan ramai lagi yang cedera serta menyebabkan keadaan huru-hara.

Bagaimanapun katanya, insiden tersebut tidak menjadi igauan atau ketakutan buat dirinya untuk ke negara itu kerana hidup dan mati itu di tangan Tuhan.

“Mati boleh berlaku di mana-mana, bila-bila masa. Duduk di rumah atau di Malaysia pun boleh mati, bukan sahaja di Paris atau tempat berbahaya, jika itulah takdir kita.

“Saya harus berani membawa misi Malaysia dalam memartabatkan puisi Melayu di mata dunia. Tanggungjawab dan cabaran ini perlu dipikul sebaik-baiknya,” katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah, baru-baru ini.

Wei Sing yang mula menghasilkan karya puisi sejak sedekad lalu berkata, sebagai seorang pendidik, beliau perlu menjadi contoh kepada murid dan anak-anak bangsa, dan teladannya itu akan diperlihatkan menerusi keberaniannya menyahut cabaran itu.

“Perjuangan boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa memilih masa. Peluang keemasan ini tidak seharusnya dilepaskan,” katanya yang mula diperkenalkan dengan karya sulung, Dendang Dunia yang diterbitkan pada 2007.

Wei Sing akan berada di Perancis selama 10 hari menerusi jemputan Kedutaan Besar Malaysia di negara itu. Kunjungannya turut ditemani isteri, Sebinna Lee, 33.

Selain mendeklamasikan puisi, Wei Sing juga akan ke Lyon, Perancis sempena Festival Seni Malaysia termasuk bengkel menulis puisi bersama beliau.

Menurut Wei Sing, undangan ke negara itu bermula selepas Persatuan Pelajar Malaysia di Perancis (MASAF) membaca puisi beliau.

Sehingga kini, beliau menghasilkan lebih 500 puisi dan sebahagian karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Mandarin. Beliau turut mempunyai 20 buku termasuk karya peribadi dan himpunan antologi bersama penulis lain.

Di Paris, Wei Sing akan mendeklamasikan puisi bertajuk, ‘Kesyukuran di bawah Bumbung Sehati Sejiwa’ yang membawa erti kesyukuran,

“Kita bersyukur di atas keamanan yang dinikmati sehingga hari ini. Keduanya ialah bebas dalam kehidupan, di mana kita bebas untuk bersuara, beragama dan berbudaya tetapi masih perlu mengetahui batas-batasnya.

“Ketiga adalah hubungan kesejagatan antarabangsa antara Malaysia dan negara-negara lain yang perlu diperlihara terutama yang melibatkan masalah global dengan melibatkan penyelesaian bersama,” katanya yang mempersembahkan puisi kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengenai persediaan lain, Wei Sing berkata, beliau perlu menyesuaikan diri untuk mendeklamasikan karyanya pada musim sejuk buat pertama kali.

“Membaca puisi pada musim sejuk adalah cabaran bagi mana-mana deklamator terutama bagi yang pertama kali tetapi saya menyahut cabaran itu,” katanya.

Ia merupakan kali ketiga beliau diberi peluang untuk mendeklamasikan puisi di luar negara selepas Medan, Indonesia pada 2013 dan Beijing, China pada 2014.

Mengulas lanjut, Wei Sing berkata, beliau akan memakai persalinan baju Melayu biru muda lengkap dengan tanjak dan sampin warna ungu.

Beliau menambah, kebiasaannya pemakaian itu lebih lengkap dengan keris sebagai aksesori bagi mempamerkan ciri pahlawan Melayu.

“Tetapi memandangkan keris adalah senjata tajam dan melibatkan isu keselamatan sekiranya saya membawanya ke luar negara, jadi saya bercadang untuk menggunakan dami keris tanpa bilah pisau di bahagian dalamnya,” katanya.

Dalam pada itu, Wei Sing tidak henti-henti mengucapkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua yang menyokongnya dalam penglibatannya berpuisi dan mengangkat karya nukilannya ke peringkat antarabangsa.

“Saya amat berterima kasih kepada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Mohd Khair Ngadiron dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Negeri Pahang, Datuk Seri Johny Ch’ng serta isteri yang banyak membantu saya dalam memartabatkan aktiviti bahasa dan sastera,” katanya.

Mengenai harapan di Perancis, Wei Sing berkata, beliau berharap karyanya yang akan dideklamasikan itu dapat memberi kesan kepada hadirin.

“Saya tidak melihat ia sebagai satu kesukaran kerana Perancis juga mempunyai deklamasi seni yang penuh dengan perasaan. Sebenarnya, kalau melalui bahasa dan seni pengucapan itu, kita dapat menangkap perasaan orang yang membaca puisi itu.

“Membezakannya ialah bahasa yang digunakan untuk pengucapan itu. Puisi itu akan dibaca dalam bahasa Melayu di Paris. Tetapi MASAF juga akan menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris dan Perancis,” katanya.

Tambah Wei Sing, beliau mahu mempromosikan mengenai keindahan dan perpaduan Malaysia termasuk budaya dan kesenian negara.

“Bukan semua negara mempunyai seni pengucapan yang tinggi sebagaimana deklamasi puisi di Malaysia. Orang luar juga perlu mengetahui tentang bahasa Melayu yang mempunyai nilai estetika yang sangat tinggi.

“Inilah perjuangan saya dalam membawa misi Malaysia ke luar negara. Saya berharap semuanya berjalan lancar kerana saya mahu Malaysia terus dijulang di mata dunia,” katanya.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");