Jenayah

Wanita Monggolia terlepas hukuman mati

SHAH ALAM: Seorang wanita warga Mongolia hanya mampu menangis kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan mengedar lebih 30 kilogram dadah, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Bayanjargal Khaliun berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesahihan kes pendakwaan.

Dalam ringkasan penghakimannya, Abdul Halim berkata, antara asas yang menjadi dasar terhadap keputusannya ialah kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan bukti langsung (direct evidence) bagi menunjukkan tertuduh mengedar dadah tersebut.

“Pihak pendakwaan gagal kemukakan pembuktian akses secara eksklusif oleh tertuduh ke atas unit kondominium itu apabila pemiliknya mengesahkan bahawa premis berkenaan disewa oleh seorang lelaki Nigeria bernama Vincent dipercayai teman lelaki tertuduh,” katanya.

Menurutnya, selain itu, terdapat percanggahan material antara saksi pendakwaan terutama antara pegawai penyiasat dengan pegawai serbuan, pegawai forensik dan jurufoto forensik yang menunjukkan ada kelemahan pada aspek siasatan oleh pegawai penyiasat.

“Keterangan ahli kimia turut mengesahkan terdapat kehadiran DNA individu lain iaitu lelaki dan perempuan pada eksibit seperti berus gigi serta tuala dan tiada cap jari yang boleh mengaitkan tertuduh dengan dadah yang ditemui di premis berkenaan,” katanya.

Bayanjargal, 33, didakwa mengedar 27.488 kg heroin dan 3.039 ganja di salah satu unit Spring Villa Condominium, Subang Jaya dekat sini, jam 1.30 pagi pada 26 Jan 2013.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 39B (b)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bayanjargal yang juga bekas pelajar kolej swasta diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");