Berita Hari Ini

Analisis TPP dikeluarkan di Parlimen minggu ini

KUALA LUMPUR – Analisis kos faedah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang telah selesai dilaksanakan, dijangka dikeluarkan di Parlimen minggu ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata analisis mengenai pakatan perdagangan serantau abad ke-21 oleh juruaudit antarabangsa PricewaterhouseCoopers dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa kini sedang dicetak.

“Mereka menampilkan kebaikan dan keburukan TPP. Jadi, terpulanglah kepada rakyat untuk membuat keputusan.

“Apa yang saya tahu, mereka mengkaji kebaikan yang kita hadapi termasuklah juga cabaran yang perlu hadapi apabila kita menjadi sebahagian daripada TPP,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog TPP di sini hari ini.

TPP adalah perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan antara 12 negara iaitu Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru, Chile, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam dan Malaysia.

Dialog TPPA yang dijalankan secara terbuka dan telus, dihadiri lebih 1,500 peserta termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan yang menentang TPP.

Mustapa berkata, ramai peserta membaca perjanjian TPP kerana mereka memetik bab tertentu draf perjanjian itu semasa sesi soal jawab.

“Kami menggalakkan perdebatan pintar sebegini. Kita tidak mahu Malaysia menandatangani perjanjian itu secara membuta tuli. Kita juga mendengar dengan teliti kepada kritikan yang membina,” katanya.

Mustapa menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah ekonomi yang agak terbuka dan bergantung kepada perdagangan luar negeri, pelaburan serta pelancongan dan perlu terus bersaing dalam ekonomi berdaya saing di peringkat global.

“Globalisasi sedang berlaku dan akan berlaku. Kita tidak boleh menghentikannya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedang melakukan yang sebaik mungkin untuk melindungi perlembagaan negara dan dasar Bumiputera di bawah TPP.

“Sekarang, kita berpendapat terdapat cabaran. Tetapi, banyak negara Asean berulang kali menyatakan minat mereka untuk menyertai TPP. Jadi, kita akan kerugian jika kita keluar daripadanya sekarang,” katanya.

Indonesia, Filipina dan Thailand menyatakan minat mereka untuk menyertai TPP baru-baru ini.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");