Membawang Hari Ini

DJ Lin putus kasih

Selama sedekad menggalas status ibu tunggal, jarang sekali penyampai radio dikenali DJ Lin ini berkongsi cerita hubungan peribadinya dengan umum.

Malah, boleh dikatakan orang ramai tidak tahu hal itu kerana Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 39, tidak mencanangkan perkembangan kisah peribadinya.

Namun, pendekatan yang diambil penyampai Suria FM ini bukan bermakna dia enggan membuka mulut cuma jarang diajukan perkara terbabit.

“Saya okey saja dan tiada masalah kalau orang bertanya. Jika betul ada seseorang, saya tidak akan berahsia dan begitulah sebaliknya.

“Cuma hal itu mungkin jarang atau tidak pernah ditanya, jadi tidak perlu rasanya saya pula yang canang kepada umum. Tapi jika ditanya, saya tidak keberatan berkongsi,” katanya.

Melihat reaksi selesa yang ditunjukkan, Lin lantas dipujuk berkongsi perkembangan kisah hubungannya.

Bagaimanapun, Lin sempat merenung jauh sebelum berkata, hubungan yang baru terjalin beberapa bulan lalu sudah bernoktah, baru-baru ini.

“Tipulah kalau saya menafikannya kerana memang beberapa bulan lalu saya berkawan dengan seorang lelaki bujang, namun ia sudah berakhir.

“Saya reda dan terbuka menerima ketentuan itu walaupun hati sudah nekad dan bersedia untuk berumah tangga semula,” katanya.

Lin tidak menyangkal, kegagalan hubungan itu masih berbekas kerana dirinya sudah bersedia untuk melayari alam rumah tangga semula pada hujung tahun ini.

“Itulah orang cakap takdir. Hati ini memang sudah bersedia. Kalau diikutkan hujung tahun ini juga saya mahu berkahwin tapi tidak kesampaian.

“Sekarang emosi saya semakin pulih dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya yakin setiap yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi.

“Namun, tiada istilah serik atau patah harapan dalam diri saya. Insya-Allah jika ada lelaki yang sesuai selepas ini, mengapa tidak saya teruskan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, menjalin hubungan adalah perkara mudah, namun mencari pasangan hidup memerlukan penelitian mendalam.

Rambut baru

Perubahan drastik pada potongan dan fesyen rambut Lin sejak sebulan lalu memberikan imej lebih segar yang ‘trendy’ buat pengendali program popular Suria Cinta ini.

Katanya, dia berbesar hati apabila pembaharuan itu mendapat respons positif daripada peminat.

“Itulah saya pun tidak sangka ramai yang menyukainya dan memberikan reaksi positif. Saya berpuas hati sebab sebelum ini macam-macam fesyen dicuba tapi kali ini paling menjadi bualan ramai.

“Sebenarnya ia boleh diibaratkan permulaan semula yang lebih segar sebab sepanjang 2015 ini, banyak kali saya sakit dan keluar masuk wad.

“Diharapkan pembaharuan imej ini memberikan semangat baharu dalam diri dan kerjaya saya untuk tahun depan,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kerjayanya, Lin yang berpengalaman 15 tahun dalam penyiaran radio berkata, beberapa pengisian baru dalam Suria Cinta bakal ditampilkan tahun depan.

“Sudah beberapa tahun kita tidak buat pembaharuan, jadi tahun depan kita tukar sikit supaya lebih segar. Cuma saya belum boleh dedahkan lagi.

“Yang pasti akan ada pembabitan selebriti dalam siaran program itu dan pengisian baru yang meminta pendengar menghantar surat cinta dengan tulisan tangan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");