Isu Panas

Gobind serang KPN, dakwa pengecut

KUALA LUMPUR – Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) hari ini menyerang Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan mendakwanya sebagai pengecut ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Gobind merujuk kenyataan Khalid kelmarin yang menyifatkan Charles Suresh Morais sebagai pengecut apabila adik bekas Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais itu melarikan diri setelah membuat pelbagai dakwaan berhubung kes kematian abangnya itu.

“Malulah KPN. Anda panggil orang pengecut tapi anda sendiri pengecut,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Charles dilaporkan membuat pelbagai dakwaan berhubung kes pembunuhan Kevin, antaranya terlibat dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum dia disahkan melarikan diri pada 1.30 pagi Khamis lalu melalui Tambak Johor.

Melalui laporan polis yang dibuat SPRM sebelum ini, suruhanjaya itu menafikan dakwaan pihaknya membocorkan draf kertas pertuduhan membabitkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang disiarkan portal Sarawak Report.

Gobind turut membangkitkan soal kegagalan KPN mengendalikan kes dalamannya sendiri sehingga menyebabkan kematian tahanan seperti yang berlaku kepada Syed Mohd Azlan Syed Mohamed di Johor, tahun lalu.

“Datuk Speaker, saya nak tanya KPN, dia yang pandai nak panggil orang macam-mana nama, tapi bagaimana dengan dia sendiri? Ini Ketua Polis Negara kita.

“Anda panggil orang pengecut, anda beritahu saya, apakah tindakan diambil berkenaan kes dalam balai polis sendiri? Kenapa tidak ada tindakan? Adakah IGP kita berani nak bercakap dengan keluarga si mati? Adakah anda ada hubungi mereka?,” tanyanya.

Katanya lagi, antara punca rakyat Malaysia tiada keyakinan dalam siasatan negara ini adalah apabila laporan polis yang dibuat tidak diambil tindakan.

“Sebagai ahli Parlimen, saya datang ke sini, kadang-kadang saya malu. Orang tanya kita, anda semua pembuat undang-undang tapi orang mati, tiada keputusan, tiada siasatan. Malu kita. Macam mana nak jawab?,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");