Perak Hari Ini

JAIPk Nafi Tuduhan Dalam Audio Yang Tersebar

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan audio yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp yang mendakwa bahawa pihaknya mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dalam tempoh masa yang singkat kepada beberapa premis perniagaan di sebuah taman tema di negeri ini.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya turut mengakui telah menerima audio yang berdurasi lebih dari satu minit itu kelmarin.

Terdahulu, melalui rakaman audio itu, seorang individu mendakwa, makanan yang dijual di tiga premis yang terdapat di taman tema tersebut tidak mempunyai sijil halal.

Rakaman itu turut mendakwa, pihak JAIPk telah mengeluarkan sijil halal dalam tempoh satu minggu selepas menerima permohonan daripada peniaga bukan Islam bertujuan untuk menarik pelanggan taman tema tersebut yang kebanyakkannya beragama Islam.

Mohd Yusop berkata, Unit Pengurusan Halal Bahagian Penyelidikan JAIPk telah mengeluarkan satu laporan bagi memperjelaskan perkara sebenar kepada pengunjung taman tema tersebut.

“Kita menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat itu kerana ianya ternyata bercanggah dengan fakta dan prosedur kerja yang diamalkan di Unit Pengurusan Halal JAIPk.

“Kenyataan itu juga turut menjejaskan reputasi dan kredibiliti JAIPk sebagai sebuah jabatan kerajaan yang kompeten,” katanya, menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, setiap permohonan berhubung Pensijilan Halal Malaysia perlu diuruskan dengan berpandukan kepada prosedur yang telah ditetapkan.

“Setiap urusan berhubung Pensijilan Halal Malaysia diuruskan dengan berpandukan prosedur dengan mengaplikasikan standard yang dikeluarkan Jabatan Standard Malaysia.

“Semua pemohon mestilah mematuhi peraturan dan standard yang telah ditetapkan,” tegasnya.

Mengulas mengenai tiga premis di dalam taman tema tersebut, beliau berkata, ketiga-tiga premis itu telah membuat permohonan untuk memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Katanya, premis yang beroperasi di dalam taman tema itu telah memohon secara dalam talian (online) MYeHALAL.

“Satu daripada premis tersebut telah memperoleh sijil halal pada Mac 2013 hingga Februari 2015 dan telah membuat pembaharuan sijil halal pada 23 Februari 2015.

“Permohonan halal itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Negeri yang bersidang pada 26 November lalu.

“Sementara itu, sebuah lagi premis telah membuat permohonan pada 5 Julai 2013 dan mendapat sijil halal pada Mac 2014 hingga Mac 2016. Berikutan itu, pihak pengurusan taman tema membuat permohonan pembaharuan sijil halal pada 29 Oktober lalu,” jelasnya.

Tambah Mohd Yusop lagi, pihak pengurusan taman tema telah membuat permohonan sijil halal bagi sebuah lagi premis yang menjual makanan pada 8 November lalu.

“Kedua-dua premis berkenaan masih dalam proses semakan dokumen,”ujarnya.

Berikutan penyebaran rakaman audio tersebut, Mohd Yusop berkata, pihaknya telah membuat laporan polis semalam untuk menafikan tuduhan yang tidak berasas oleh lelaki yang tidak dikenali itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");