Jenayah

‘Maiz menangis masuk bilik ibu’

SEREMBAN: “Dia tunjuk bilik Allahyarham minta saya buka pintu. Tapi bila masuk dalam bilik, dia menangis. Saya rasa dia mungkin nak cakap sesuatu, tapi tak pandai untuk luahkan.

Demikian kata Rohani Adam, 62, nenek kepada Muhammad Khair Maizudin, 2 yang sekelip mata menjadi piatu selepas kehilangan ibu, Murni Muhamat, 26, dan bapanya, Khairul Anwar Tajuddin, 34, dalam kemalangan di Kilometer 14.7, Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Ladang Hentian Tinggi, kelmarin.

Muhamad Khair yang turut terlibat dalam kemalangan itu bagaimanapun selamat dan dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Jaafar Seremban, jam 4 petang kelmarin.

Menurut Rohani, sejak pulang ke rumah, cucunya yang dipanggil Maiz itu lebih banyak diam dan seperti masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

“Alhamdulillah, dia tak alami kecederaan serius, hanya ada kesan lebam pada bahagian perut. Sejak balik dia hanya banyak tidur sahaja dan langsung tak mahu makan, hanya minum susu saja.

“Sekelip mata sahaja dia sudah jadi anak yatim. Tapi semua itu ketentuan dan selepas ini saya dan suami akan jaganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jiboi Baru, Ampangan di sini, semalam.

Menceritakan sebelum kejadian itu, Rohani berkata, anak dan menantunya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan menandakan yang mereka akan pergi selamanya, tetapi sebelum bertolak ke Melaka, Allahyarham memandangnya lain daripada biasa.

Pandangannya seakan jauh, sukar dimengerti namun hanya selepas kejadian itu, baharu Rohani sedar itu adalah pandangan terakhir anaknya.

“Menantu saya beritahu yang dia nak balik ke Melaka sebab nak minta maaf pada ayah dan keluarganya di sana sebab pertengahan Disember nanti dia akan bersalin.

“Kononnya Allahyarham merancang nak buat persediaan beli barang untuk anaknya yang akan lahir tidak lama lagi selepas balik dari Melaka, tapi nampaknya tak sempat. Bila jadi macam ni.. baru saya terfikir patutlah Allahyarham langsung tak buat apa-apa persediaan,” katanya.

Tambah Rohani, paling meruntun perasaan apabila mengenangkan album perkahwinan Allahyarham yang dijumpai di dalam keretanya di lokasi kemalangan itu.

“Saya ada sebuah rumah di sana dan memang sebelum bertolak, dia ada minta kunci katanya nak singgah. Saya pun ada minta dia bawa pulang album kahwin, kononnya saja nak tengok.

“Tapi ALLAH lebih menyayanginya dan saya percaya ini ujian buat kami sekeluarga yang ada hikmahnya,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan perasaan sedih seorang datuk apabila cucunya yang masih kecil hilang tempat bermanja setelah kedua ibu bapanya maut dalam kemalangan di Kilometer 14.7, Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Ladang Hentian Tinggi.

Dalam kejadian jam 6.23 pagi itu, mangsa, Khairul Anwar Tajuddin, 34, dan isteri, Murni Muhamat, 26, yang sarat mengandung anak kedua maut manakala anak mereka, Muhammad Khair Maizudin, 2, cedera parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Datuk mangsa, Tajuddin Shohod, 68, berkata, dia mendapat panggilan berhubung kemalangan kira-kira jam 9 pagi dan bergegas ke HTJ bagi melihat keadaan Muhammad Khair.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");