Berita Hari Ini

Panggil Gani atau tidak terpulang kepada polis

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada perlu atau tidak memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail memberi keterangan berhubung kematian Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais terletak pada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut mengenai hal itu kerana tidak mahu menganggu siasatan.

“Soal hendak panggil Gani atau tidak terpulang kepada siasatan polis. Saya tidak boleh terangkan di sini,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2016 Kementerian Dalam Negeri peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) sama ada kerajaan akan memanggil Gani untuk membantu siasatan terhadap kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais.

Ini berikutan pendedahan adik mendiang, Charles Suresh Morais yang membuat akuan bersumpah (SD) mendakwa memiliki pen drive yang dikirim Kevin melalui syarikat kurier sebelum beliau dibunuh.

Tian Chua (PKR-Batu) ketika mencelah turut memohon penjelasan sama ada Ketua Polis Negara mengetahui batas perundangan tanggungjawab seorang peguam.

Nur Jazlan berkata, Ketua Polis Negara mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang- undang yang ditetapkan berdasarkan keperluan pihak berkuasa.

Sesi penggulungan itu mulai panas sebaik isu pendakwaan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibangkitkan Gobind.

Gobind mendakwa isu melibatkan perdana menteri tidak akan selesai sekiranya pihak terlibat mempunyai pengaruh besar dalam kerajaan.

Menurut Nur Jazlan, Ahli Parlimen Puchong itu tidak sepatutnya menjadikan Dewan Rakyat seperti mahkamah untuk membuat pertuduhan seperti itu.

“Macam mana awak boleh kata perdana menteri pengaruhi siasatan? Kita ada prosedur jika ada dakwaan polis akan siasat dan Peguam Negara akan teruskan dengan pendakwaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut memaklumkan pegawai pendakwa raya yang terancam boleh membuat laporan polis atau memohon bantuan pengiring.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");