Membawang Hari Ini

Penutup Jom Heboh 2015 meriah

Ribuan pengunjung membanjiri pekarangan Komplekas Sukan Negara di Bukit Jalil untuk menyaksikan konsert Karnival Jom Heboh 2015 yang melabuhkan tirainya, malam kelmarin.

Konsert menyaksikan persembahan penuh bertenaga daripada Asmidar, Hazami, Kaka Azraff, Qanda, Amira Othman dan Aiman Mamat.

Acara bermula pada jam 8.30 malam itu dimeriahkan dengan kehadiran pelawak daripada kumpulan Titan iaitu Issey dan Ammar sebagai pengacara.

Persembahan dimulakan dengan Kaka Azraf menyampaikan lagu popularnya, Bukan Hal Aku dan Bawaku Pergi.

Seterusnya, pentas diserahkan kepada Aiman Mamat diikuti Hazami yang menghiburkan penonton dengan tiga lagu.

Istimewanya, penonton berpeluang menyaksikan persembahan single baru Cintai Dia yang dikeluarkan pada bulan depan.

Selesai single itu, Hazami menyanyikan lagu Mungkir Bahagia dan Katakanlah.

Kemudian, giliran peserta Akademi Fantasia 2013, Amirah Othman yang memilih lagu Inggeris berjudul Perhaps sebagai persembahan pertamanya.

Persembahan bertambah meriah apabila penonton bergelak ketawa melihat gelagat Issey dan Amar menari ketika Amirah menyanyi lagu Hati-Hati.

Konsert tiba di penghujungnya dengan persembahan Asmidar diikuti kumpulan Qanda menerusi single Cinta Yang Sempurna dan memilih lagu popular nyanyian Black Dog Bone iaitu Khayalan sebagai penutup konsert Jom Heboh 2015.

Sebelum itu, kumpulan Qanda meluahkan rasa teruja mereka apabila single pertama mereka, Cinta Yang Sempurna dicalonkan dalam separuh akhir Muzik-Musik 30.

Bertemu artis dan personaliti TV3

Jom Heboh 2015 yang berlangsung dua hari menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung di gerai Cerekarama, Raudhah, Selera, Banana Land dan Buletin Utama.

Bukan itu saja, pengunjung turut berpeluang beramah mesra dengan pelakon drama TV3, Fezrul Khan, Shah Jaszle, Afzan Rahman, Izzaty Abdullah, Sasqia dan Shawn Lee.

Barisan personaliti TV3 yang membuat kemunculan di Jom Heboh 2015 adalah Fiza Sabjahan, Teh Syuhaida, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Zaim Helmi Zaini, Hazlin Hussain dan Ahmad Fedtri Yahya.

Karnival diserikan lagi dengan penyampaian tazkirah oleh juara program realiti Da’i musim kedua, Farhan atau nama sebenarnya Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad di gerai Raudhah.

Sambil melawat gerai TV3, pengunjung boleh membeli-belah pakaian, makanan dan produk lain yang turut dijual peniaga di pekarangan Kompleks Sukan Negara.

Malam pertama Jom Heboh 2015 yang bertempat di lokasi sama, Sabtu lalu dimeriahkan dengan persembahan Jaclyn Victor, Azlan & The Typewriter, Amir Jahari, Indah Ruhaila dan Sissy Imam.

Bilangan pengunjung tahun ini meningkat

Sebelum ini, KJH sudah pun menggegarkan pekarangan Stadium Hang Jebat, Melaka diikuti Plaza Angsana, Johor Bahru.

Siri jelajah berkenaan yang berwajah baru bagi tahun ini membawa konsep meriah dan bertenaga.

Penganjurannya sejak 2003 membuktikan acara itu terus mendapat tempat di hati masyarakat untuk beriadah bersama stesen televisyen TV3.

Pengunjung turut berpeluang menemui personaliti popular seperti Fiza Sabjahan, Teh Syuhaida, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Zaim Helmi Zaini, Hazlin Hussain dan Ahmad Fedtri Yahya selain barisan pelakon yang membintangi drama TV3.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, pihaknya berpuas hati apabila lebih 500,000 pengunjung hadir ke lokasi akhir karnival itu.

“Dua lokasi sebelum ini di Melaka dan Johor Bahru berjaya menarik lebih 300,000 pengunjung.

“Bilangan pengunjung meningkat pada karnival tahun ini dengan penambahan saiz gerai utama yang bertujuan mempelbagaikan aktiviti,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");