Sukan Hari Ini

Tiada tindakan tegas terhadap FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh menarik nafas lega kerana tiada tindakan tegas dikenakan ke atas persatuan berkenaan, sebaliknya badan induk bola sepak negara itu diarah mengambil tindakan segera menambah baik sistem kawalan dan keselamatan stadium.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya menerima surat daripada Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman Jumaat lalu, berhubung tindakan di atas insiden kekecohan penonton ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lalu.

Katanya, Pesuruhjaya Sukan dalam surat berkenaan menegaskan FAM bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden itu dan berpandangan masih terdapat kelemahan yang boleh ditambah baik oleh FAM dalam usaha menangani isu dan permasalahan tersebut.

“Pesuruhjaya Sukan meminta FAM ambil tindakan segera terhadap tiga perkara iaitu memperketat peraturan sedia ada supaya lebih kemas dan teratur dengan mewujudkan tatacara kaedah pengurusan penonton bersama pengurusan stadium.

“Pesuruhjaya Sukan juga meminta FAM memperkemas dan memperketat prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dengan lebih terperinci untuk jaminan keselamatan yang baik dan efisien selain menambah baik sistem atau saringan pemeriksaan penonton termasuk ke atas peniaga yang terlibat dengan perniagaan dalam venue,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Hamidin berkata, FAM mengambil maklum serta prihatin semua saranan dan cadangan dikemukakan Zaiton dan akan mengambil tindakan sewajarnya supaya tiga saranan itu dapat dilaksanakan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Setakat ini katanya, FAM melalui Jawatankuasa Keselamatan yang dipengerusikan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim telah mengambil beberapa langkah susulan.

Antaranya memperkenalkan satu peraturan khas yang bakal dijadikan asas untuk aspek kawalan dan keselamatan stadium termasuk hal menjaga ketenteraman dan harta benda awam. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");