Perak Hari Ini

Capai Keputusan STAM Terbaik Di Perak, Sekolah Al-Falah Jadi Pilihan

TANJUNG PIANDANG: Kejayaan cemerlang Sekolah Menengah Agama(SMA) Al-Falah, menerima pengiktirafan sebagai sekolah agama bantuan kerajaan(SABK) terbaik di Perak dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) bagi tahun 2015 menjadikan sekolah ini antara pilihan para pelajar.

Pengetuanya, Abdul Hamid Mohamad berkata, SMA Al-Falah juga pernah menduduki tempat pertama keputusan cemerlang STAM pada tahun 2010,2011 dan 2013 malah terpaksa menolak permohonan kemasukan hampir 150 pelajar bagi menduduki STAM untuk sesi tahun ini berikutan masalah kekurangan penempatan pelajar.

Menurutnya, pada tahun ini, pihaknya hanya menawarkan 50 tempat untuk pelajar yang mahu menduduki STAM, dan beberapa siri ujian saringan terpaksa dibuat bagi memastikan pelajar terpilih benar-benar layak.

“Bayangkan daripada hampir 200 pelajar memohon untuk mengambil STAM di SMA Al-Falah bagi sesi 2016/2017, seramai 100 permohonan terpaksa ditolak setelah mengikuti ujian saringan pertama.

“Kini, kita sedang bersiap-sedia mengadakan ujian saringan kedua bagi memastikan jumlah pelajar diterima tidak lebih 50 orang,”katanya pada sidang media di pejabat sekolah itu, di sini.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah(PPD) Kerian, Mazalani Abdul Muhaini.

Abdul Hamid berkata, sejak beberapa tahun ini, kebanyakan ibu bapa mula buka mata dengan kemampuan SMA Al-Falah yang mampu melahirkan sekurang-kurangnya tujuh mahasiswa di universiti terkenal luar negara setiap tahun.

Menurutnya, pencapaian STAM terbaik pernah dicapai dalam sejarah sekolah itu pada tahun ini meningkatkan lagi kecenderungan ibu bapa untuk memasukkan anak-anak mereka ke SMA Al-Falah.

“Tahun 2015, kita mencipta rekod luar biasa apabila seramai dua calon STAM mendapat keputusan gred Mumtaz, 11 pelajar memperolehi Jayyid Jiddan dan 17 pelajar mencapai Jayyid, daripada keseluruhan 30 calon.

“Rekod dicapai termasuk pencapaian lulus 100 peratus dianggap paling cemerlang dalam sejarah sekolah, berbanding pencapaian STAM pada tahun 2014 apabila tiada calon memperolehi keputusan Mumtaz.

“Berdasarkan pencapaian itu, pengurusan sekolah percaya lebih ramai calon yang akan mendapat tempat melanjutkan pengajian di universiti luar negara dan tempatan,”katanya.

Abdul Hamid berkata, meskipun kejayaan yang dicapai amat bermakna, pihaknya turut berharap Kementerian Pendidikan Malaysia dapat menempatkan seorang guru berkepakaran dalam peperiksaan STAM di SMA Al-Falah dalam kadar segera.

Menurutnya, usaha penempatan itu penting bagi meringankan beban guru-guru bukan pakar STAM untuk memastikan pencapaian cemerlang STAM sekolah itu berterusan.

“Selain itu, sejak beberapa tahun lalu, kita memperkenalkan program Fast Track kepada mana-mana pelajar berpotensi untuk mengikuti pengajian STAM selama setahun sahaja, berbanding tempoh asal dua tahun.

“Potensi pelajar yang mahu mengikuti program Fast Track akan diukur sendiri pengurusan sekolah dan setakat ini, majoriti mereka yang terpilih berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam STAM,”katanya.

Sementara itu, calon cemerlang STAM, Muhammad Firdaus Ramli,19, memilih mengambil STAM telah memberi pulangan berbaloi kepada dirinya apabila memperolehi keputusan keseluruhan 6 Mumtaz dan 4 Jayyid Jiddan.

Muhammad Firdaus yang berasal dari Bandar Baharu, Kedah turut menepis tanggapan bahawa peperiksaan STAM sukar memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran dan mendapatkan pekerjaan sebagaimana didakwa segelintir pihak.

“Tanggapan itu perlu dikikis kerana peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang diminati amat tinggi meskipun dengan mengambil peperiksaan STAM.

“Saya bercita-cita menjadi pengkaji sejarah ketamadunan Islam suatu hari nanti dan berharap mampu merealisasikannya,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");