Sukan Hari Ini

Serena tarik diri

Perth: Pemain nombor satu dunia, Serena Williams kecewa apabila kempennya pada awal musim ini terganggu gara-gara kecederaan sekali gus terpaksa menarik diri daripada Piala Hopman akibat masalah lutut.

Penarikan dirinya membolehkan pasangan Ukraine Elina Svitolina dan Alexandr Dolgopolov menang 2-1 ke atas pasangan Amerika Syarikat (AS) pada kejohanan berpasukan campuran itu.

Serena diganti oleh Vicky Duval dan pemain muda berusia 19 tahun itu ternyata bukan lawan yang mampu mengekang pemain nombor 19 dunia berkenaan.

Set pertama agak sengit tetapi Elina berjaya mengatasi Vicky 6-4, 6-1.

Dolgopolov memastikan kemenangan buat Ukraine apabila menang 6-4, 6-2 ke atas Jack Sock.

Pada set penentuan beregu campuran, gandingan Amerika Syarikat itu menang 6-2, 6-3.

Serena dijangka bermain menentang Elina dalam acara perseorangan wanita tetapi menarik diri beberapa minit sebelum bermula dan berkata lututnya bengkak selepas sesi latihan awal pagi semalam.

Perlawanan itu sepatutnya menjadi pemanas badan buat Serena yang akan mempertahankan gelaran pada Terbuka Australia di Melbourne bulan ini.

Serena yang pernah memenangi 21 gelaran perseorangan Grand Slam pernah berkata, dia memerlukan masa untuk memulihkan dirinya selepas gagal menyapu bersih acara Grand Slam tahun lalu.

Jurulatihnya Patrick Mouratoglou mengaku Serena dihantui kecederaan lutut sejak November lalu.

Begitupun, Serena berharap dapat segera sembuh untuk bermain menentang Australia hari ini.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");