Perak Hari Ini

Sultan Perak Isytihar Muallim Daerah Perak ke-11

TANJUNG MALIM: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengisytiharkan daerah baharu iaitu Daerah Mualim yang berkeluasan 93,435 hektar bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan baginda di sini hari ini.

Daerah Mualim merupakan daerah ke-11 terdiri daripada tiga mukim iaitu Slim, Ulu Bernam Barat dan Ulu Bernam Timur yang meliputi bandar Tanjung Malim, Slim dan Proton City.

Turut berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Dihilir Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifulah Shah.

Baginda bertitah bahawa perkataan mualim berasal daripada perkataan Arab, perkataan yang berkaitan dengan ilmu dan ilmuwan, bermaksud orang yang ahli dalam agama.

“Negeri Perak Darul Ridzuan kini mempunyai daerah pentadbiran kesebelas yang telah Beta perkenan, dinamakan Daerah Muallim.

“Nama tersebut amat bertepatan diabadikan kepada daerah ini berdasarkan latar belakang tertentu sejarah. Di daerah inilah, Sultan Idris Training College atau SITC telah dirasmikan pembukaannya oleh Sir George Maxwell pada 29 November 1922.

“SITC ialah pusat ilmu, pusat pengajian tertinggi tempatan untuk anak Melayu pada era pra merdeka, dibangunkan untuk memberi latihan perguruan kepada anak-anak Melayu yang berlatar belakang persekolahan dalam bahasa Melayu,” titah baginda pada Majlis pengisytiharan daerah tersebut telah berlangsung di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.

Titah baginda lagi, Daerah Muallim diharap akan menjadi salah sebuah daerah yang termaju dengan adanya pemimpin, pentadbir serta penduduknya untuk menjadikan negeri Perak, sebuah negeri yang aman dan berjaya.

Titah Baginda lagi, perancangan pembangunan daerah Muallim sewajibnya berupaya memenuhi keperluan penduduk daerah ini, terutama kemudahan-kemudahan perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan, perhubungan dan perumahan.

“Salah satu isu penting yang amat wajib diberikan perhatian, baik oleh pihak kerajaan lebih-lebih lagi oleh pihak pemaju, adalah keperluan perumahan rakyat.  Istilah ‘rumah mampu lihat dan bukan mampu milik’ semakin disuarakan oleh rakyat berpendapatan rendah lebih-lebih lagi di kalangan orang Melayu dan bumiputera.

“Pemaju hartanah, kelihatan dan dianggap lebih berminat membina rumah harga mahal untuk mengaut keuntungan besar.

“Rumah-rumah yang siap dibina, dijual pada harga di luar kemampuan majoriti penduduk tempatan.  Pemaju kelihatan lebih berminat membangunkan rumah dengan harga mahal untuk dijual kepada bukan warganegara dan aktif melakukan promosi jualan di kalangan hartawan di luar negara,” titah baginda lagi.

Titah baginda, kepentingan perniagaan jangan sampai ke peringkat mengakibatkan warga kehilangan hak di buminya sendiri, iaitu diibaratkan seperti berakhir dengan menerima nasib ayam kelaparan di kepuk – itik kehausan di air, disebabkan perbuatan dagang lalu ditanakkan.

“Bumi dan negeri ini wajiblah mengutamakan warganya sendiri.

“Negara juga titah baginda wajib berhati-hati dan meletakkan kepentingan jangka panjang untuk melindungi daripada berlakunya sekali lagi penjajahan di bumi merdeka ini melalui instrumen pemilikan hartanah; dan pada akhirnya peribumi merintis sendiri kerana bumi dipijak milik orang,” titah baginda.

Terdapat lapan buah penempatan utama daerah Perak Tengah Selatan dalam daerah tersebut iaitu antaranya Slim River, Tanjung Malim, Behrang 2020, Behrang Station, Trolak Pekan dan Slim Village.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");