Jenayah

Abang maut, adik parah

TEMERLOH – Seorang mangsa kemalangan tercampak ke atas sebuah treler selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dan dibawa sejauh lebih 20 kilometer.

Kehadiran Muhammad Hafeez Mat Arof, 15, yang cedera parah hanya disedari pemandu treler terbabit selepas mendengar jeritan mangsa meminta tolong.

Nahas membabitkan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh di Kilometer 4 Jalan Temerloh-Triang, pagi semalam itu, mengorbankan nyawa abang mangsa, Muhammad Asyraf Mat Arof, 17,

Dalam kemalangan jam 7.30 pagi itu, dua beradik terbabit yang tinggal di Kampung Teluk, Jalan Triang, Bera, sedang dalam perjalanan ke sekolah menaiki motosikal Yamaha 125Z.

Muhammad Asyraf yang menunggang motosikal dipercayai memasuki lorong bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona dipandu Radzuan Mohd Arshad, 48, yang datang dari arah Temerloh.

Kedua-dua mangsa tercampak mengakibatkan Muhammad Asyraf meninggal dunia di tempat kejadian.

Pada masa sama, terdapat sebuah treler membawa muatan simen yang mengekori kereta Persona terbabit dari arah belakang.

Muhammad Hafeez dipercayai tercampak tinggi dan terus terjatuh masuk ke bahagian muatan simen lori terbabit.

Pemandu treler yang melihat kemalangan itu tidak memberhentikan kenderaannya dan tidak menyedari kehadiran seorang mangsa di dalam kenderaannya.

Difahamkan, pemandu treler terbabit hanya memberhentikan kenderaannya lebih 20 kilometer dari lokasi kejadian untuk bersarapan.

Ketika itu, pemandu terbabit mendengar jeritan mangsa yang meminta tolong dalam keadaan lemah.

Lelaki itu kemudiannya menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Triang sebelum dia dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, dua beradik itu menaiki motosikal milik bapa mereka untuk ke sekolah.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian berhampiran Kampung Pangsenam di sini, motosikal jenis Yamaha 125Z ditunggang mangsa dari arah Triang dipercayai termasuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Persona.

“Mangsa merupakan anak anggota polis, manakala pemandu kereta adalah seorang kakitangan awam yang bertugas di bahagian agama Ibu Pejabat Polis Daerah Bera,” katanya.

Anuar berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus satu lorong dua hala dengan garisan putus di pembahagi jalan.

Beliau berkata, bahu jalan di kiri dan kanan tidak berturap manakala keadaan cuaca baik dan tidak hujan tetapi permukaan jalan lembap.

“Pemandu kereta memandu seorang diri dari arah Temerloh ke Bera, tiba-tiba motosikal terbabit memasuki lorongnya dan bertembung secara berdepan, penunggang motosikal maut di tempat kejadian.

“Pembonceng motosikal patah kedua-dua kaki dan tangan kiri dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Temerloh,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");