Panasnya Hari Ini

Ahli Parlimen Bayan Baru Cadang Najib Lantik Zeti Sebagai Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mengambil langkah berani dengan melantik Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Menteri Kewangan selepas tempoh perkhidmatam beliau di Bank Negara berakhir pada April ini.

Memetik sumber Freemalaysiatoday, cadangan itu katanya juga adalah bertentangan dengan harapan penganalisis, ahli perniagaan, bank-bank pusat, pihak berkuasa dan pelabur di seluruh dunia yang menunggu keputusan Malaysia untuk menamakan semula Zeti sebagai gabenor bank pusat.

“Saya ingin mengesyorkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan portfolio kewangannya dan melantik Zeti sebagai Menteri Kewangan.

“Ini adalah satu strategi lautan biru yang boleh menyelamatkan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, pelantikan Zeti sebagai Menteri Kewangan berupaya meningkatkan keyakinan Malaysia dan kedudukan negara di peringkat global berdasarkan kelayakan beliau.

“Beliau dipilih sebagai Central Bank Governor of the Year pada tahun 2005 oleh Euromoney dan salah seorang ketua bank-bank pusat Gred A oleh Global Finance selama lebih dari sepuluh tahun berturut-turut.

“Ternyata kita amat memerlukan seorang menteri kewangan yang berkaliber untuk membaiki defisit keyakinan yang dialami Malaysia ekoran pelbagai insiden termasuk skandal mengaitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Perdana Menteri itu sendiri,” katanya lagi.

Najib juga disaran supaya meletakkan kepentingan negara mendepani pertimbangan politik peribadinya.

“Saya seru Najib mengakui kesilapan beliau mengurus ekonomi Malaysia sehingga menyebabkan kegagalan ekonomi seperti hutang kerajaan yang tinggi, kenaikan kos hidup rakyat, kelembapan perniagaan, nilai ringgit susut dan juga gelombang pemberhentian kerja yang semakin serius,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");