Jenayah

Ajal tiga sekeluarga

Rompin: Empat termasuk tiga sekeluarga maut manakala dua parah dalam kemalangan membabitkan Perodua Kancil dan Proton Saga BLM di Kilometer 138.8 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Cenderawasih di sini, jam 12.45 tengah malam semalam.

Foo Kam Long, 45, bersama isterinya Salamiah Ating, 33, yang menaiki Perodua Kancil meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala anak mereka, Wei Quan, 10, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Muadzam Shah (HMS).

Kemalangan turut menyebabkan penumpang depan Proton Saga BLM, Muhamad Sharil Sabri, 23, berasal dari Kubang Batang Cabang 4, Tumpat, Kelantan, terbunuh.

Dua yang parah membabitkan seorang lagi anak Kam Long, Weng Ee yang berumur lapan tahun serta pemandu Proton Saga BLM Mohamad Zareqh Emeer Zainudin, 23. Kedua-duanya turut dibawa ke HMS untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, ketika kejadian Kam Long bersama isteri dan dua anak mereka datang dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

“Keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 3, Perkampungan Orang Asli Jalan Sabak di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Saga BLM dipandu Mohamad Zareqh Emeer terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Perodua Kancil dinaiki empat beranak berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, pertembungan itu menyebabkan Kam Long, Salamiah serta Muhamad Sharil maut serta-merta.

Muhammad Aidil Roneh berkata, orang ramai cuba membantu namun berdepan kesukaran kerana mangsa tersepit sebelum anggota bomba tiba.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di jalan berselekoh. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");